PUTRAJAYA: Hanya satu daripada 97 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini mempunyai majoriti saham bumiputera.
Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, perkara tersebut amat membimbangkan dan mencerminkan penyertaan sebenar kaum bumiputera dalam sektor perniagaan.
“Ini suatu ‘wake-up call’ (bagi kita), ini situasi sebenar yang berlaku,” katanya pada sesi pembentangan hasil libat urus pengurusan korporat dan penciptaan kekayaan pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di sini semalam.
RENDAH
Beliau berkata, kadar pemilikan ekuiti bagi saham tersenarai dan tidak tersenarai juga masih rendah iaitu sekitar 18.4 peratus.
“Angka tersebut masih jauh untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB),” ujarnya.
Abdul Wahid berkata, punca utama kegagalan itu adalah golongan bumiputera sentiasa menumpukan dasarnya pada sektor awam, bukan swasta.
“Perkara itu menyebabkan ekonomi bumiputera hanya mencapai 17.8 peratus berbanding sektor swasta 76.2 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” jelasnya.
Sehubungan itu, kerajaan disarankan untuk memperkenalkan Dasar Peluang Saksama bagi memberi peluang yang adil kepada rakyat Malaysia dalam menjalankanperniagaan mahupun dalam pekerjaan.
Abdul Wahid berkata, pelaksanaan Dasar Memperkasakan Bumiputera perlu mengambil pendekatan yang lebih universal.
Katanya, perkara tersebut boleh dilaksanakan dengan menerapkan kepelbagaian, ekuiti dan keterangkuman (DEI) iaitu semua syarikat dikehendaki melaporkan kepelbagaian Lembaga Pengarah, pengurusan dan eksekutif meliputi tiga kategori iaitu jantina, etnik dan generasi.
“Dasar Peluang Saksama ini bermakna tidak ada diskriminasi dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan. Ini kerana, ada yang merasakan mereka tidak diberi pulang walaupun untuk ditemu duga.
“Kalau ada bukti berlaku diskriminasi, mereka boleh adukan kepada badan-badan tertentu bagi memastikan mereka tidak tertindas,” katanya.
KUASA
Beliau berkata, kerajaan juga wajar meletakkan dasar itu di bawah kuasa undang-undang jika arahan pelaksanaan secara sukarela tidak berkesan.
Abdul Wahid berkata, jika dilaksanakan, dasar tersebut dapat membantu meningkat jurang pendapatan isi rumah bumiputera yang masih rendah iaitu pada purata RM2,200 sebulan berbanding kaum Cina pada RM4,000 sebulan.
“Sebelum ini, Dasar Memperkasakan Bumiputera banyak tertumpu pada sektor awam yang merangkumi sebahagian besar daripada ekonomi negara pada masa dulu. Jadi, dasar ini perlu dilebarkan kepada sektor swasta bagi mengelak pencapaiannya akan terus rendah,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. – UTUSAN










