PETALING JAYA: AirAsia X Berhad (AirAsia X) merekodkan pendapatan sebanyak RM2.5 bilion dan keuntungan bersih berjumlah RM366.5 juta bagi tahun kewangan 2023 berakhir 31 Disember 2023.
Pencapaian itu didorong oleh pemulihan segmen operasi penerbangan apabila lebih banyak pesawat kembali beroperasi dan peningkatan luar biasa dalam pendapatan sampingan.
Syarikat itu berkata, permintaan penumpang terus menggalakkan, dengan mencatatkan sejumlah 2.8 bilion penumpang yang dibawa berbanding 417,195 penumpang pada 2022, dengan Faktor Muatan Penumpang (PLF) yang kukuh sebanyak 80 peratus, berbanding 78 peratus tahun lepas.
Bagi suku keempat 2023 (4Q2023), Syarikat merekodkan pendapatan sebanyak RM818.2 juta, peningkatan lebih 2.4 kali berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dan merupakan pencapaian terbaik AirAsia X selepas pandemik.
Pada tempoh berkenaan Syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM27.4 juta.
“Ia mencerminkan pemulihan 80 peratus berbanding suku yang sama pada 2019, dengan hanya lebih 50 peratus daripada kapasiti tersedia dalam tempoh yang sama sebelumnya.
“Syarikat membawa sejumlah 890,289 penumpang pada 4Q23, lebih 2.6 kali lebih tinggi tahun ke tahun (YoY), menjejaki lonjakan YoY sebanyak 2.8 kali dalam Kapasiti Kilometer Tempat Duduk Tersedia (ASK) kepada 4,770 juta apabila lebih banyak pesawat diaktifkan dan lebih banyak laluan dilancarkan.
“Dirangsang oleh musim perjalanan puncak akhir tahun, Syarikat mencatatkan Faktor Muatan Penumpang (PLF) yang sihat sebanyak 82 peratus, meningkat tiga mata peratusan YoY dan melepasi paras 2019 sebanyak 81 peratus. Pada 4Q2023, Syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM27.4 juta,” katanya dalam kenyataan.
AirAsia X berkata, pada suku dalam tinjauan, Syarikat mencatatkan purata tambang penumpang sebanyak RM619, turun daripada tahun sebelumnya sebanyak RM866, disebabkan paras tambang dalam pasaran telah dinormalisasi.
Katanya, hasil sampingan bagi setiap penumpang, meningkat kira-kira 10 peratus YoY kepada RM216 apabila kadar pengambilan meningkat berlandaskan inisiatif komersial yang dioptimumkan.
Dari segi prestasi syarikat bersekutu, AirAsia X Thailand (TAAX) mencatatkan perolehan sebanyak RM469.5 juta pada 4Q23, meningkat 79 peratus YoY dan mencerminkan kira-kira 93 peratus kadar pemulihan berbanding tempoh yang sama pada 2019.
“Suku ini, TAAX mencatatkan keuntungan bersih RM1.3 bilion di atas pengiktirafan keuntungan daripada pemulihannya. TAAX melaporkan hasil keseluruhan berjumlah RM1.5 bilion, meningkat lebih 47 peratus YoY, manakala keuntungan bersih mencatatkan RM2.1 bilion,” katanya.
Jumlah saiz armada AirAsia X ialah 18 pesawat A330 pada akhir 31 Disember 2023, dengan 16 pesawat diaktifkan dan beroperasi, manakala jumlah saiz armada AirAsia X Thailand ialah lapan pesawat A330, dengan tujuh pesawat diaktifkan dan beroperasi. – UTUSAN










