KERJAYA sebagai pengasuh sering kali dikaitkan dengan suri rumah dan golongan tua.
Ia kurang diminati orang muda kerana peluang pekerjaan yang didakwa terhad, tekanan di tempat kerja di samping gaji rendah.
Lantaran itu, ramai lepasan ijazah pendidikan awal kanak-kanak di negara ini memilih terjun ke bidang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Kiddocare, Nadira Yusoff berkata, situasi itu turut menyebabkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing yang tiada kepakaran dalam penjagaan kanak-kanak.
Bagi menarik golongan muda menceburi kerjaya itu, beliau menyarankan masyarakat mengubah persepsi terhadap pengasuh.
Jelasnya, pengasuh bukan kerjaya remeh yang sekadar ‘menolong’ ibu bapa menjaga kanak-kanak.
“Ia perlu dipandang lebih tinggi seperti bidang-bidang profesional lain kerana tugasan ini memerlukan skil, kepakaran, daya ketahanan dan empati dalam mengendalikan kanak-kanak.
“Contohnya, bagi anak-anak berusia bawah empat tahun, penjagaan tepat amat diperlukan kerana di fasa ini mereka mula membentuk karakter dan nilai-nilai diri,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Kata Nadira, perubahan persepsi itu sekali gus dapat memastikan pemberian gaji yang setimpal dengan kepakaran dimiliki pengasuh.
Kongsinya, inisiatif diperkenalkan Kiddocare dapat mendedahkan bakat-bakat muda dalam persekitaran kerja yang kondusif dan kurang stres.
Platform mudah alih penjagaan anak pertama Malaysia itu turut membolehkan pengasuh memilih usia dan bilangan kanak-kanak yang ingin dijaga.
“Suasana di taska atau tadika dikatakan lebih stres kerana pengasuh tidak mencukupi dan perlu menguruskan ramai budak dalam tempoh lama, tentunya ada macam-macam ragam.
“Tetapi di Kiddocare, kita beri peluang pengasuh memilih berdasarkan keselesaan mereka supaya kanak-kanak itu dapat disayangi sepenuhnya, keselamatan terjamin dan proses penjagaan menyeronokkan,” katanya.
Jelasnya, sepanjang lima tahun Kiddocare beroperasi sejak 2019, kira-kira 8,000 pengasuh berdaftar di bawahnya dengan lebih 1,000 yang aktif.
Manakala, ibu bapa pula seramai 180,000 orang termasuk di Lembah Klang dan di bandar-bandar di sekitar Semenanjung.
Bayaran perkhidmatan yang ditawarkan adalah RM60 untuk dua jam manakala RM90 (empat jam), RM120 (enam jam), RM230 (12 jam).

Fleksibel, gaji lumayan
Sementara itu, Anisa Humaira Ismail, 28, tidak malu bergelar pengasuh ‘moden’ kerana minat mendalam pada kanak-kanak.
Kerjaya itu mula diceburi selepas tamat pengajian dalam bidang seni reka fesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sebelum ini, dia merupakan guru tadika dan memilih menjadi pengasuh terlatih sejak tiga tahun lalu.
“Kerjaya sekarang lebih fleksibel berbanding semasa di tadika yang menuntut saya bekerja selama 10 jam tanpa henti dan kadangkala mencecah sehingga ke pukul 9 malam.
“Sebagai pengasuh, saya boleh pilih masa yang bersesuaian dengan minimum dua jam sehari atau lebih,” katanya.
Pulangan yang diraih juga berbaloi dengan purata RM120 sehari manakala di tadika cuma RM60.
Walaupun secara sambilan, wanita asal Kuala Lumpur ini mampu meraih pendapatan selesa sebanyak RM2,500 sebulan.
Dalam pada itu, ujar Anisa Humaira, pengasuh moden tidak seperti konsep tradisi kerana tempoh penjagaan dimanfaatkan dengan aktiviti yang merangsang minda dan meningkatkan rasa ingin tahu si cilik.
“Pengasuh kena kreatif ketika bermain dan berkomunikasi dengan kanak-kanak misalnya jika mereka seorang yang aktif, lakukan aktiviti seperti sukan dan senaman.
“Biasanya saya bawa pelbagai permainan dan alatan untuk digunakan bersama mereka,” katanya.
Selain latihan yang diberikan Kiddocare, dia turut menambah ilmu dengan mengikuti kursus-kursus berkaitan dan menjadikan video di media sosial sebagai panduan.

Asuh lebih 300 kanak-kanak
Siti Halimah Mohd. Ruzni, 24, menjadi pengasuh sejak enam tahun lalu dan hingga kini sudah menjaga lebih 300 kanak-kanak termasuk golongan istimewa.
Katanya, setiap kanak-kanak memiliki karakter berbeza dan untuk menarik minat mereka, dia gemar melakukan aktiviti seni kraf.
“Aktiviti ini mungkin terbatas untuk dibuat dengan ibu bapa kerana kekangan masa untuk mengemas semula ruangan yang bersepah.
“Tetapi hakikatnya ia memberikan keseronokan dan kepuasan kepada si cilik,” katanya yang menetap di Johor.
Walaupun sudah berkahwin dan memiliki bayi lelaki berusia setahun enam bulan tetapi Siti Halimah masih menjadi pengasuh.
Ujarnya, kerjaya itu membuka peluang buat ibu serta surirumah untuk menjana pendapatan dan dalam masa sama masih dapat menjaga anak.










