Suami mangsa pilih kasih orang tua

Suami mangsa pilih kasih orang tua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rumah tangga bagai sebuah kapal berlayar di lautan luas. Lautan tidak selalunya tenang, langit juga tidak selamanya cerah.

Adakalanya badai memukul kapal, sesekali mendung diiringi ribut dan hujan panas. Yang pasti, ada ujian dan dugaan sebelum sampai ke pelabuhan.

Keadaan itu sudah tentu memerlukan kesabaran dan kekuatan dalam mengharunginya.

Minggu ini saya kongsikan kisah Zana (bukan nama sebenar) yang pernah hidup dalam dilema apabila suami menggunakan kuasa mutlak sebagai ketua keluarga dalam hal kebajikan dan penjagaan ibu bapa mereka.

Pun begitu, akhirnya dia sedar setiap apa yang berlaku pastinya bersebab.

Dalam emel yang dikirimkan kepada saya baru-baru ini, Zana menulis suaminya, Asri (bukan nama sebenar) terpaksa mengorbankan diri semata-mata mahu meraih kasih sayang ibu bapa yang tidak pernah dirasai sepanjang hidupnya.

“Saya tidak kisah jika suami mengutamakan kedua ibu bapanya. Apa yang buat saya terkilan ketika itu, kenapa suami yang terpaksa menanggung semuanya, daripada pembayaran bil utilti, makan minum dan perbelanjaan harian lain, sedangkan adik-beradik lepas tangan,” tulis Zana dalam emelnya itu.

Menurut Zana, suami merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Selain seorang abang, suami mempunyai seorang adik lelaki dan dua adik perempuan yang masing-masing telah berumahtangga.

Dilihat dari mata kasar kata Zana, kesemua ipar duainya mempunyai pekerjaan yang baik dan selasa.

“Sepatutnya mereka sepakat sama-sama membantu dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa sendiri.

“Sayangnya, itu tidak berlaku dalam keluarga suami,” tulis Zana dalam emelnya itu.

Kata Zana, sepanjang tempoh enam tahun berumahtangga, dia melihat suami sahaja yang melebih-lebih dan prihatin terhadap kebajikan orang tuanya.

Bercerita lanjut dalam emelnya, Zana menulis suaminya hanya bekerja sebagai penyelia di sebuah stesen minyak, manakala dia guru agama di sekolah rendah di Selangor.

Dia tidak kisah tentang pekerjaan suaminya malah, bersyukur dan sangat-sangat menghargai setiap apa yang diusahakan Asri.

Dia ada usaha dan masih gigih melakukan pekerjaan lain dengan membuka gerai burger pada sebelah malam.

Walaupun gajinya kecil dan cukup-cukup makan sahaja, dia tetap mahu membantu kedua ibu bapanya.

“Adakalanya saya rasa suami hanya dipergunakan keluarga sendiri.

“Bayangkan, adik-beradik lain terutama abangnya tidak ambil peduli terhadap ibu bapa sendiri. Jika apa-apa berlaku, sakit pening orang tua, abang menghubungi suami meminta kami membawa mereka ke hospital,” tulis Zana lagi.

Kata Zana, di awal perkahwinan dia tidak sedar selama ini ada sesuatu yang tidak kena dalam keluarga suami.

Namun, setelah masuk enam bulan perkahwinan, baru dia perasaan setiap kali hujung bulan, gaji suami tidak pernah mencukupi.

Sebagai isteri, Zana tidak berkira membantu suami. Setelah didesak barulah suami memberitahu yang semua wang gaji digunakan untuk ibu bapanya.

“Saya sedih dan terkejut ketika itu. Saya persoalkan juga tentang di mana tanggungjawab abang dan adik lelaki suami tetapi, suami hanya berdiam dan berlalu pergi meninggalkan saya dengan penuh tanda tanya,” tulisnya.

Bercerita lagi, kata Zana, setiap kali anak menantu dan cucu pulang berkumpul di rumah mentua, mereka seolah-olah ‘panas punggung’.

Mahu cepat-cepat pulang. Hubungan mereka adik beradik juga tidak begitu rapat. Bersembang sekadar yang perlu sahaja.

Awalnya Zana tidak perasaan, sehinggalah salah seorang biras, isteri kepada adik ipar menceritakan punca sebenar anak-anak bersikap demikian adalah kerana ibu bapa mereka sendiri.

Rupa-rupanya, sewaktu membesarkan anak-anak, kedua ibu bapa mentua bersikap pilih kasih dan berat sebelah.

Sikap itu telah merosakkan hubungan mereka adik-beradik.

Ini kerana anak-anak yang terlebih dimanja terutama abang sulung dan adik bongsu suami, hilang sifat kasih sayang terhadap sesama sendiri.

Paling menyedihkan ia turut memakan diri ibu bapa mereka apabila anak-anak mula menjauhkan diri.

Dalam emel itu, Zana menulis rupa-rupaya, suami Zana dan adik lelakinya sering menjadi mangsa pilih kasih ibu bapa.

Berbanding adik-beradik lain, mereka kurang bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, bahkan rupa paras.

Kata Zana, sejak mengetahui kisah sebenar, dia mula cuba untuk memahami suaminya.

“Sebetulnya saya menyesal kerana salah sangka dengan suami selama ini. Suami telah melalui fasa yang sangat menyedihkan apabila menjadi mangsa pilih kasih orang tua sendiri.

“Saya tahu, apa yang suami korbankan untuk kedua ibu bapanya sepanjang perkahwinan kami semata-mata mahu meraih kasih sayang yang tidak pernah dirasai,” tulisnya.

Kata Zana, dia sudah terlalu letih dengan permainan kedua ibu bapa mentua.

Ini kerana dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot, sikap mereka masih tidak pernah berubah.

“Saya masih kekal dalam perkahwinan ini kerana sayangkan suami dan anak-anak.

“InsyaAllah saya akan sentiasa di sisi suami, menyokongnya selagi masih diperlukan.

Doa saya agar Allah menginsafkan dan melembutkan hati kedua ibu bapa mentua untuk menerima anak menantu serta cucunya dengan penuh kasih sayang,” tulisnya lagi.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka . (An-Nisa’. 34)

Dalam ayat tersebut Allah SWT telah menghimpunkan beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah SWT dan kepada suaminya dalam perkara yang baik, lagi memelihara dirinya ketika suaminya tiada di sampingnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×