KUALA TERENGGANU: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berada dalam keadaan semakin sihat selepas menjalani rawatan susulan di sebuah hospital di sini sejak beberapa hari lalu.
Setiausaha Akhbar beliau, Abdul Malik Ab. Razak berkata, Ahli Parlimen Marang itu juga dapat menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang, hari ini yang menjadi rutin pada setiap pagi Jumaat.
‘Alhamdulillah Abdul Hadi semakin sihat selepas menerima rawatan susulan di hospital sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Turut hadir pada Kuliah Dhuha itu, Naib Presiden Pas yang juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu, menurut Abdul Malik, beliau meminta orang ramai mendoakan Abdul Hadi dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa berada dalam lindungan Allah.
Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi tidak hadir Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu kerana keadaan kesihatannya masih tidak mengizinkan dan dalam tempoh pemulihan.
Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman memaklumkan Presiden Pas itu masih mempunyai beberapa rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu.
Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) juga telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 1 Januari lalu bagi melakukan pemeriksaan susulan mengikut rutin kesihatan seperti ditetapkan.
Sepanjang hampir 10 hari dirawat, beliau tidak dibenarkan menerima pelawat. – UTUSAN










