PETALING JAYA: Untung bersih Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (TK2023) melonjak 188 peratus kepada RM543.2 juta daripada RM187.2 juta tahun sebelumnya, berikutan peningkatan dalam hasil, pendapatan lain dan bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu.
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia semalam, pengendali lapangan terbang itu berkata, pendapatan Kumpulan bagi tahun dikaji melonjak 57.2 peratus kepada RM4.91 bilion daripada RM3.13 bilion.
Kumpulan merekodkan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) hampir dua kali ganda kepada RM2.29 bilion daripada RM1.19 bilion setahun lalu.
“Kumpulan mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM506.1 juta, peningkatan ketara daripada RM184.6 juta yang dicatatkan pada TK2022.
“Prestasi kewangan yang bertambah baik didorong oleh pemulihan yang berterusan dalam trafik penumpang serta sumbangan komersial dan runcit yang lebih tinggi,” katanya.
MAHB berkata, dengan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 119.5 juta pada TK2023, trafik penumpang Kumpulan meningkat sebanyak 42.4 peratus berbanding TK2022, dan pulih sebanyak 84.6 peratus berbanding TK2019.
Pergerakan penumpang daripada operasi Kumpulan Malaysia meningkat kepada 81.9 juta, kenaikan 55.4 peratus berbanding TK2022 dan pemulihan 77.8 peratus berbanding tahap prapandemik.
Operasi di Türkiye menyaksikan peningkatan sebanyak 20.5 peratus dalam pergerakan penumpang, mencatatkan 37.6 juta penumpang pada TK2023.
“Jumlah penumpang pada TK2023 juga melepasi 36.0 juta penumpang yang dicatatkan pada TK2019, dengan penumpang antarabangsa membentuk 52 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang pada TK2023.
“Kebangkitan semula dalam trafik penumpang adalah disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk peningkatan keyakinan dan permintaan pengembara, pengembangan laluan penerbangan, penyambungan semula hak trafik Asia Utara, pelancaran operasi syarikat penerbangan baharu dan pembukaan semula sempadan China pada 8 Januari 2023,” jelasnya.
Kumpulan turut merekodkan pertumbuhan 57.1 peratus dalam hasil bukan aeronautik, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih baik daripada hasil komersil dan runcit daripada kedua-dua operasi Malaysia dan Türkiye.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohamed Rastam Shahrom berkata, Kumpulan telah bekerja keras untuk menyampaikan nilai kepada pemegang kepentingan pada tahun lalu.
Dalam keadaan operasi yang bertambah baik, katanya, MAHB telah berjaya memberikan prestasi kewangan yang lebih baik, dan mencapai kemajuan yang baik dalam program pemodenan lapangan terbang, pendigitalan dan peremajaan komersil.
“Kami kini meletakkan asas untuk pertumbuhan masa depan dan pertambahan nilai yang mampan dengan pelan perniagaan strategik tiga tahun kami.
“Kami terus komited untuk meningkatkan perjalanan dan pengalaman penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang kami, sejajar dengan visi untuk menjadi kumpulan lapangan terbang global yang memperjuangkan ketersambungan dan kemampanan,” katanya.
Pada waktu tengah hari semalam, saham MAHB susut 1.54 peratus atau 13 sen kepada RM8.32, dengan 767,100 saham diniagakan. – UTUSAN










