PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) menandatangani perjanjian dengan Sany Marine Heavy Industry Co. Ltd untuk mendapatkan enam unit kren pangkalan Kapal Kontena Ultra Besar (ULCV).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Sany Marine, Jeff Fu pada 23 Februari lalu.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan Sany Marine, peneraju utama dalam pembuatan peralatan pelabuhan.
“Pengambilalihan enam kren pangkalan ULCV ini merupakan langkah penting ke hadapan dalam komitmen kami untuk menyediakan keupayaan dan perkhidmatan peringkat tinggi kepada pelanggan kami yang dihargai.
“Kren berteknologi maju berupaya meningkatkan keupayaan untuk mengendalikan dengan cekap jumlah kargo kontena yang semakin meningkat, sekali gus memastikan perdagangan yang pantas dan lancar dalam rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mark Hardiman berkata, kepentingan pembelian dalam strategi pemodenan peralatan PTP yang lebih luas dengan tumpuan kepada usaha mengembangkan kapasiti, menaik taraf dan menambah peralatan, kemudahan serta meningkatkan kecekapan terminal.
Ia termasuk aktiviti berkaitan pelabuhan untuk menjadikan PTP sebagai hab perdagangan dan perkapalan di rantau ini.
Katanya, selain meningkatkan kapasiti, PTP juga melihat pembelian kren pangkalan ULCV baharu itu sebagai peluang untuk memajukan matlamat kelestarian.
“Kren ini dijangka menyumbang kepada pengurangan pelepasan sebanyak 45 peratus menjelang 2030, menyokong komitmen PTP terhadap Perjanjian Paris dan operasi yang cekap. – UTUSAN










