SEREMBAN: Seorang wanita warga emas berusia 66 tahun mengalami kerugian wang sehingga RM173,500 selepas diperdaya oleh sindiket phone scam yang menyamar sebagai sebuah syarikat kurier dan pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, menurut laporan yang diterima semalam, mangsa memaklumkan, ahli sindiket telah memberitahu mangsa mempunyai bungkusan yang meragukan.
Panggilan telefon kepada mangsa kemudian telah disambungkan kepada pihak yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Mangsa ditakutkan dengan rekod kesalahan penggubahan wang haram dan arahan wang tangkap sebelum mengikut arahan ahli sindiket dengan memindahkan wang sebanyak RM173,500 ke beberapa akaun yang diberikan sindiket.
“Mangsa hanya menyedari ia merupakan penipuan apabila pihak sindiket telah menyekat panggilan mangsa selepas transaksi dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.
Mohamad Hatta dalam pada itu menasihatkan orang ramai untuk peka dengan trend sindiket penipuan yang semakin berleluasa.-UTUSAN.









