JOHOR BAHRU: Warga pendidik khususnya guru-guru di negeri ini diingatkan supaya tidak memuat naik sebarang kandungan berkaitan sekolah atau pelajar dengan sesuka hati dalam media sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, peringatan itu dibuat ekoran beberapa kejadian tular yang telah memberikan imej negatif terhadap institusi pendidikan sebelum ini.
Menurutnya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat menitikberatkan aspek pendidikan generasi muda negeri ini.
“Kebanyakan yang berlaku sebelum ini, masalah di peringkat sekolah telah menjadi tular dalam media sosial. Oleh itu, kita tekankan agar guru-guru tidak memuat naik sebarang maklumat dalam media sosial sesuka hati.
“Perkara ini perlukan pemantauan daripada guru besar, pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah. Ini termasuk juga penganjuran program-program di peringkat sekolah, perlu dipastikan ia bersesuaian,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Muafakat Kasih Warga Pendidikan Negeri Johor di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan negeri, Mohd. Hanafi Samad.
Aznan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat memberitahu, guru-guru khususnya perlu mengambil kira kesan terhadap sekolah dan perkhidmatan pendidikan negeri ini atas tindakan dilakukan mereka.
“Tindakan pihak sekolah yang menjemput pempengaruh untuk memberi motivasi kepada murid dan pelajar, kita galakkan sekolah menggunakan ‘edu-influencer’ atau guru-guru sendiri.
“Kita tidak mahu insiden seperti ‘influencer’ melakukan program dengan unsur ‘cintan-cintun’ di sekolah kerana ini boleh menjejaskan imej sekolah. Sekolah adalah tempat mendidik generasi muda, biarlah isu bersesuaian yang keluar (dalam media sosial),” tegasnya.
Sementara itu, Majlis Muafakat Kasih Warga Pendidikan Negeri Johor merupakan program pertama Aznan bersama warga pendidik di negeri ini selepas dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor yang baharu pada 13 Februari lalu. – UTUSAN










