Kerja di Singapura, sanggup jadi gelandangan di JB - Utusan Malaysia

Kerja di Singapura, sanggup jadi gelandangan di JB

LING TIAN SOON (baju putih) bertanya soalan kepada seorang gelandangan di bandar raya Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekerja di Singapura yang menawarkan gaji tinggi, namun menjadi gelandangan di bandar raya ini.

Itu realiti kehidupan sebahagian golongan gelandangan yang tidur di jalanan di sekitar bandar raya Johor Bahru sehingga mencemar pemandangan dan mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai, termasuk pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata,

ada antara gelandangan tersebut bekerja di Singapura, namun sanggup tidur di sekitar bandar raya ini termasuk membuang sampah, mabuk serta membuang air kecil di kawasan awam.

Kawasan tumpuan pelancong, khususnya di Sungai Segget dan Jalan Wong Ah Fook di pusat bandar ini kini dibanjiri gelandangan pada sebelah malam. 

“Sebelum ini, saya menerima aduan daripada penduduk tempatan mengenai kehadiran ramai gelandangan di kawasan Sungai Segget dan Jalan Wong Ah Fook, termasuk beberapa individu disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Perbuatan gelandangan memberi kesan kepada penduduk tempatan dan pelancong yang ingin bersiar siar di kawasan tersebut serta menjadi punca kerosakan harta awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Tian Soon melakukan tinjauan bersama pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kawasan bandar raya Johor Bahru.

Tian Soon berharap MBJB memastikan persekitaran di sini berada dalam keadaan yang ceria dan bersih daripada kegiatan yang tidak baik.

“Pegawai MBJB telah mengarahkan mereka untuk meninggalkan kawasan tersebut dan memberi amaran agar mereka tidak melakukan perbuatan yang tidak senonoh di tempat awam. Saya telah meminta MBJB untuk mengarahkan lebih banyak anggota penguat kuasa untuk terus memantau di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin Nisa Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md  Shukor tentang isu gelandangan.

“Saya lihat perlu ada tindakan susulan dengan menjalankan operasi bersama bagi memastikan isu gelandangan di bandar raya ini dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×