Transformasi Ekonomi Bumiputera naratif baharu

Transformasi Ekonomi Bumiputera naratif baharu perkasa ekonomi bumiputera

AHMAD Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucaptama di KEB, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Transformasi Ekonomi Bumiputera atau TEB dicadang menjadi naratif baharu bagi mengupayakan dan memperkasakan ekonomi bumiputera di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia akan menjadi satu dasar baharu yang dicadangkan bagi Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 kali ini.

“Jika KEB pertama dan kedua melahirkan Dasar Ekonomi Baharu (DEB), maka saya suka mengetengahkan cadangan bagi KEB kali ini untuk kita melaksanakan TEB sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“TEB akan menggariskan tiga matlamat utama yang perlu dicapai iaitu keadilan sosio-ekonomi, kemampanan negara bangsa dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada KEB 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Katanya, ketiga-tiga matlamat utama ini bagi memastikan dasar dan pelaksanaan agenda ekonomi negara, malah ia bukan sahaja menjamin penglibatan dan hak bumiputera sebaliknya mewujudkan kesalingan dengan bukan bumiputera.

Ahmad Zahid berkata, mahu atau tidak, rela atau tidak, kesalingan antara kaum amat penting dalam memugar aktiviti ekonomi negara.

“Bertitik tolak daripada hasrat DEB yang tidak mahu lagi aktiviti ekonomi dikaitkan dengan identiti kaum, hari ini tembok itu telah pun berjaya diruntuhkan.

“Kaum bumiputera tidak lagi sinonim dengan usaha tani, Cina bukan lagi mendominasi gelaran saudagar begitu juga dengan kaum India, tidak lagi berlegar di perladangan.

“Atas semangat ini, tiga matlamat utama yang digariskan yang menuntut semua kaum bahu membahu membangunkan negara,” katanya.

Katanya, TEB akan menghormati agihan yang adil di samping menerima hakikat, usaha memartabatkan penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi seiring kerangka Perlembagaan Negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, TEB akan menjadi satu dasar baharu yang progresif bertujuan untuk merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Melalui tranformasi ini, kita mahu memastikan penyertaan, pemilikan dan penguasaan bumiputera dalam sektor ekonomi dapat diperkasakan supaya tidak ketinggalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini