PETALING JAYA: Pakar-pakar ekonomi sepakat dengan menjangkakan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2023 lebih tinggi berbanding 2022.
Malah ada pakar ekonomi yang menjangkakan dividen KWSP 2023 boleh mencapai setinggi 6.5 peratus, mengambil kira prestasi dana pencen itu sepanjang tahun lalu.
KWSP dijadual akan mengumumkan prestasi kewangan dan kadar dividen 2023 pada Ahad ini.
Rekod di laman web KWSP menunjukkan, dividen paling tinggi pernah diberikan adalah sebanyak 8.5 peratus iaitu dari 1983 hingga 1987.
Tahun lalu, dana pencen terbesar negara itu mengumumkan dividen 2022 sebanyak 5.35 peratus untuk simpanan Konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Shariah.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menjangkakan kadar dividen 2023 KWSP antara 5.5 hingga 6.5 peratus didorong oleh prestasi KWSP yang baik untuk setiap suku 2023 dan ekonomi Malaysia juga terus berkembang tahun lalu.
Selain itu katanya, ia turut didorong oleh ekonomi domestik yang memberikan petunjuk bahawa tahun ini KWSP bakal memberikan dividen yang lebih baik dari tahun sebelumnya.
“Tambahan lagi, pergerakan pengurusan kanan KWSP berpindah memegang portfolio yang lebih besar di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri pada akhir tahun juga memberikan petunjuk kecemerlangan pengurusan KWSP yang telah menarik perhatian pucuk pimpinan negara,” jelasnya kepada Utusan Malaysia.
Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai pula berkata, KWSP dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik bagi 2023 kerana mempunyai banyak pelaburan di luar negara dan pulangan apabila ditukarkan kepada ringgit akan menjadi lebih tinggi.
“Jadi, KWSP berupaya untuk bayar dividen lebih tinggi sehingga enam peratus bagi 2023. Bagaimanapun, KWSP tidak mempunyai tekanan untuk berbuat demikian kerana keuntungan tersebut boleh disimpan untuk 2024 yang juga dianggap mencabar.
“Ekonomi negara kini berada dalam pusingan ekonomi yang sedang meningkat dan mungkin akan mencapai pulangan lebih tinggi apabila memuncak pada 2025 dan 2026,” katanya.
Pensyarah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Mohamed Aslam Mohamed Haneef turut menjangkakan kadar dividen KWSP yang lebih tinggi untuk 2023 bagi kedua-dua simpanan Konvensional dan Shariah.
“KWSP sentiasa menjadi penanda aras kepada pulangan pelaburan kerana memang cekap mengurus dan juga mempunyai pelaburan yang baik di luar negara.
“Bagi 2024 pula, sukar untuk membuat ramalan, tapi mungkin lebih tinggi dari 2023,” ujarnya.
Pada November tahun lalu, KWSP mengumumkan merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9B 2023), meningkat 33 peratus daripada RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022.
Menurut KWSP, jumlah itu selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut.
Jelasnya, daripada RM47.86 bilion itu, sebanyak RM4.62 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga (S3 2023) berakhir 30 September 2023 pula adalah RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos, peningkatan sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2022. – UTUSAN










