PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Siemens bagi mempercepatkan pelaksanaan teknologi pendigitalan dan automasi di negeri itu.
Siemens akan berkhidmat sebagai penasihat teknologi kepada Kerajaan Negeri dan menawarkan perkhidmatan perikatan perundingan komprehensif serta membantu menarik lebih banyak pelaburan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama itu boleh mempercepatkan kedudukan Selangor ke barisan hadapan pendigitalan di Asia Tenggara.
Beliau berkata, usaha itu turut menjadikan Selangor negeri terkemuka dalam pendigitalan dan negeri teratas di rantau ini bagi latihan teknikal dan vokasional (TVET) peringkat tinggi.
“Siemens menyumbang memajukan sektor pendidikan dengan tumpuan khusus memupuk inovasi dan memanfaatkan teknologinya di bawah tonggak Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya selepas Majlis Menandatangani MoU antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Siemens, hari ini.
Tambahnya, perjanjian itu turut mengukuhkan kerjasama sedia ada Siemens dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) untuk menyediakan latihan pakar.
Katanya, pengkayaan cita-cita transformasi digital di Selangor itu, selaras dengan rangka kerja Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Siemens Malaysia, Tindaro Danze, kerjasama itu meletakkan Siemens di barisan hadapan dalam memajukan inisiatif transformasi digital negeri.
“Melalui khidmat nasihat dan perundingan kami, kami boleh menyokong kerajaan dalam usaha mempercepatkan transformasi digital mewujudkan peluang perniagaan untuk ekosistem industri di Selangor,” ujarnya. – UTUSAN










