Muhibah: Ikhlaskah DAP atau wayang? - Utusan Malaysia

Muhibah: Ikhlaskah DAP atau wayang?

DAP perlu membuktikan yang mereka membuka peluang kepada semua kaum untuk membentuk hala tuju parti tanpa dipengaruhi oleh ‘tangan ghaib.’ – Twitter DAP Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mungkin ramai yang tidak sedar, malah mungkin juga tidak tahu, DAP menyambut ulang tahun ke-55, kelmarin. Dalam media sosial rasmi DAP, ada beberapa ‘acara’ dipertontonkan untuk memberi nampak kepada umum yang sambutan 55 tahun itu cukup meriah.

Malangnya, tidak ramai yang perasan kewujudan ‘perayaan’ ulang tahun ke-55 DAP pada hari sama kita memperingati setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Apa maknanya? Sudah tentu ia menampakkan betapa teruknya persepsi masyarakat kebanyakan terhadap sebuah parti yang telah menjangkau ‘usia pencen’ tersebut. Hanya dalam kalangan ahli dan penyokong terdekat sahaja yang mungkin merasai dan mengetahui sambutan yang boleh dikatakan sebagai ‘syok sendiri.’

Tersiratnya, ia suatu petanda betapa DAP tidak lagi berada di jajaran pemikiran dan ingatan masyarakat kita di negara majmuk ini. Apatah lagi apabila mereka pernah berkuasa dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah mentadbir negara ini penuh kekecewaan. Maka tidak hairanlah kerajaan berkenaan sekadar mampu bertahan selama 22 bulan.

Sedangkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, bukan kecil anak gelombang sokongan kepada PH dan penolakan terhadap Barisan Nasional (BN) dalam kalangan rakyat kebanyakan. Ia suatu fenomena yang cukup dahsyat dan mekar dalam sejarah negara kita buat selama-lamanya.

Diikutkan pada fikir logik, sudah tentu sebuah kerajaan yang mempunyai daya sokongan begitu akan mampu bertahan di puncak kuasa untuk beberapa penggal lamanya. Namun, logik akhirnya dikalahkan oleh magik. Kerajaan PH yang dikuasai DAP akhirnya tumbang dan disambut oleh senyuman, rasa tenang serta gembira tidak terkata oleh majoriti rakyat.

Jika dahulu UMNO/BN melawan DAP habis-habisan hanya bersandarkan kepada agenda perjuangan DAP yang tidak sehaluan dengan mereka, namun kali ini UMNO/BN sudah punya rekod garis lampau yang menceritakan sejauh mana kemampuan DAP menjaga kebajikan rakyat. Ternyata ia suatu rekod perkhidmatan penuh epik dan menjadi modal yang boleh dijadikan ‘peluru hidup’ untuk UMNO/BN, waima Pas sendiri bagi menghukum dan mengalahkan DAP dalam mana-mana pilihan raya nanti.

Pada asas yang kukuh itulah, kita mengharapkan DAP tidak hanya bermain wayang di hadapan rakyat. Jika benar mereka memperjuangkan muhibah pada saat usianya yang telah pencen ini, maka tunjukkan dengan tindakan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perkataan muhibah membawa makna suatu perasaan persahabatan dan kemesraan. Namun, adakah DAP faham erti sebenar muhibah? Bukan apa, jika dilihat kepada tindak tanduk mereka ketika berkuasa selama ini pun, sukar untuk dinilai aura atau perasaan muhibah antara DAP dengan kebanyakan rakyat terutama orang Melayu.

Dengan dasar perjuangan mereka untuk membentuk Malaysian Malaysia, agak mustahil perasaan muhibah antara DAP dengan majoriti rakyat dapat dibentuk secara harmoni. Malah, kepimpinan dalaman mereka juga tidak sekata. Majoriti yang menguasai parti berkenaan adalah daripada satu bangsa sahaja. Jika benar DAP mahukan muhibah, cabar diri untuk memberi peluang kepada kaum Melayu dan India menjadi individu yang mampu membuat keputusan, membentuk hala tuju parti dan membina legasi mereka sendiri tanpa dipengaruhi oleh ‘tangan ghaib.’

Apapun, diucapkan syabas buat DAP kerana telah berusia 55 tahun dan pernah berada dalam pentadbiran kerajaan. Ia suatu memori yang akan dikenang, dinilai dan dijadikan rujukan untuk kami semua membuat semak dan imbang bagi memilih parti politik paling sesuai menjadi pemerintah tanah air tercinta.
Muhibah!

PENULIS ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×