PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran.
Pertukaran MoU antara Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour dengan Gabenor NBC, Chea Serey telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Samdech Moha Borvor Thipadei Hun
Manet.
Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, MoU itu akan menggalakkan kerjasama lebih erat antara BNM dengan NBC bagi memacu inovasi kewangan.
“Ia juga bagi memastikan pembayaran rentas sempadan yang cekap dan selamat demi manfaat individu serta perniagaan di kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelasnya, hal itu termasuk menghubungkan sistem pembayaran domestik di Malaysia dan Kemboja untuk membolehkan pembayaran QR rentas sempadan.
Menurutnya, ia akan menggalakkan penggunaan penyelesaian pembayaran dalam mata wang tempatan serta menyokong penubuhan mekanisme pengawasan bersama untuk pembayaran rentas sempadan yang lebih selamat.
Selain itu, MoU itu merupakan satu lagi pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Regional Payment Connectivity dan sejajar dengan Pelan Hala Tuju G20.
“Pencapaian ini akan memudahkan aktiviti perdagangan dan pelancongan rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja.
“Sehingga 5 juta peniaga, termasuk perniagaan kecil yang menerima pembayaran QR di kedua-dua negara dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama ini,” ujarnya.
Sementara itu, Gabenor NBC, Chea Serey berkata, MoU itu merupakan satu langkah penting dalam mempertingkatkan kerjasama antara bank pusat mereka.
Katanya, NBC dan BNM akan bekerjasama untuk memacu inovasi kewangan dan menambah baik sistem pembayaran kod QR rentas sempadan.
“Ia bagi merangsang aktiviti perdagangan dan rangkuman kewangan di kedua-dua negara serta menggalakkan penggunaan mata wang tempatan sejajar dengan objektif ASEAN,” katanya. – UTUSAN










