SEREMBAN: Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani berkongsikan pengalamannya membantu menyempurna dan membimbing pengislaman dua warga Jepun di Osaka, semalam.
Mengakui terharu, beliau memberitahu telah diberikan peluang oleh pihak Japan Dakwah Centre (JDC) di Osaka, Jepun untuk menyempurnakan pengislaman dua orang saudara baharu tersebut iaitu Hajime Nasu dan Yusuke Hori.
“Nilai universal budaya Jepun yang selari dengan nilai yang diterapkan Islam seperti saling menghormati, tolong-menolong, menjaga kebersihan dan bersopan santun menjadi asas dalam memperkukuh dakwah Islam di Jepun.
“Saya amat mengagumi inisiatif dan usaha Pengasas JDC, Zulkarnain Hasan Basri serta Pengerusi Japan Muslim Foundation yang giat berdakwah dan memperkenalkan Islam melalui budaya Jepun di bumi Sakura ini,”katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Sharifudin, dalam lawatannya ke Jepun, pelbagai perbincangan antara USIM dengan JDC telah dilakukan.
“Ia termasuklah penghantaran pelajar USIM untuk menjadi imam solat tarawih di JDC sepanjang bulan Ramadan, kajian agama dan budaya Jepun yang diberikan geran penyelidikan oleh JDC, program mobiliti pelajar dan latihan industri pelajar USIM di JDC Osaka,” katanya lagi.
Beliau juga berkesempatan bertemu dengan kumpulan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM Sesi Akademik 2022/2023 yang menjalani program GISO di Osaka dengan kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Jepun (MSAJ) selama seminggu.-UTUSAN.










