PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) terus mencatatkan prestasi kewangan cemerlang dengan keuntungan sebanyak RM120.43 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Jumlah itu peningkatan sebanyak RM17 juta atau 16.43 peratus berbanding RM103.43 juta pada 2022 dan merupakan tertinggi dalam sejarah CBP.
Dalam masa yang sama, dana pemegang syer CBP juga meningkat sebanyak RM500 juta pada di mana, ia membantu pertumbuhan aset yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM10.8 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, pembukaan semula syer yang dibuka semula kepada orang ramai bermula 1 Januari 2023 sehingga 31 Disember 2023 telah menerima sambutan baik dan menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap CBP.
“CBP akan turut memperkenalkan beberapa produk baharu seperti Akaun SalamBiz kepada industri kecil dan sederhana serta syarikat-syarikat korporat pada suku pertama 2024 dan beberapa produk lain seperti pembiayaan mikro, sewa beli kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, antara produk yang telah diperkenalkan adalah CBP COSTART untuk membantu koperasi-koperasi kredit selari dengan Dasar Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM).
“CBP juga mencatatkan Pembiayaan Tidak Berbayar (PTB) terendah iaitu sebanyak 1.5 peratus bagi tahun kewangan 2023,” katanya.
Khairil Anuar turut berkata, pengenalan perbankan digital akan diperkenalkan pada akhir suku pertama 2024 dapat mengukuhkan lagi jenama CBP.
Jelas beliau, selain produk pembiayaan dan perkhidmatan, CBP akan mengukuhkan lagi pertumbuhan kewangan sebanyak 20 peratus menerusi terbitan sukuk pada suku keempat 2024. – UTUSAN










