Moomoo lancar aplikasi super pelaburan

Moomoo lancar aplikasi super pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Moomoo, aplikasi super pelaburan semua dalam satu, dilancarkan secara rasmi di Malaysia bagi menggalakkan inovasi kewangan tempatan dan memperkasakan pengguna.

Moomoo dalam kenyataan berkata, syarikat itu bakal menyediakan pengalaman pelaburan digital yang profesional, boleh dipercayai dan berinovasi kepada pelabur Malaysia.

Futu Malaysia Sdn. Bhd. (Moomoo MY) adalah antara firma pembrokeran digital global pertama yang dikurniakan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Lesen itu membolehkan Moomoo MY menawarkan perkhidmatan perdagangan dan penjelasan sekuriti dan derivatif untuk kedua-duanya.

Rakan Kongsi Kanan, Naib Presiden Kanan dan Ketua Asia Tenggara dan Oseania Futu Holding Limited, Robin Xu berkata, kemasukan Moomoo ke Malaysia menggariskan komitmen syarikat terhadap pemerkasaan pelbagai pasaran kewangan menerusi teknologi.

Katanya, berpegang kepada misi untuk ‘menjadikan pelaburan lebih mudah, bukan bersendirian’, pihaknya berusaha menggalakkan kesaksamaan maklumat, pembukaan akses, dan penciptaan nilai dalam ekonomi Malaysia yang dinamik.

“Menerusi teknologi, kami bertujuan menggalakkan kesaksamaan maklumat, membuka lebih banyak akses kepada pelaburan dan pengurusan kekayaan, serta mencipta nilai untuk pelabur dan pasaran modal tempatan.

“Ekonomi Malaysia yang dinamik, ditambah pula dengan sokongan dasar baru-baru ini, telah menyaksikan pembangunan pesat dalam pasaran modal.

“Sebagai sebuah platform pelaburan yang menghubungkan 21 juta pelabur runcit di seluruh dunia, kami membayangkan kerjasama dengan bursa-bursa, badan-badan pengawal seliaan, dan rakan-rakan kongsi dalam tempoh terdekat untuk menjadi sebuah gerbang menghubungkan produk pelaburan Malaysia dengan pasaran modal dan pelabur global,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift, mengalu-alukan kemasukan Moomoo MY ke Malaysia dan sebagai Organisasi Peserta Bursa.

“Dalam pasaran yang dipacu oleh teknologi hari ini, adalah penting untuk industri memanfaatkan sepenuhnya data dan alat digital untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses dan lebih cekap.

“Pelabur mahukan pilihan dan kami menggalakkan semua Organisasi Peserta untuk menggunakan kuasa teknologi baharu bagi meningkatkan pengalaman pelaburan para pelabur, dan menggalakkan lagi keterangkuman kewangan di Malaysia.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Moomoo MY atas pelancaran aplikasi pelaburan yang berinovatif sempena kemasukannya ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×