Tiada caj tambahan di LTAPP selepas naik taraf

Tiada caj tambahan di LTAPP selepas naik taraf

ANTHONY Loke Siew Fook ketika merasmikan Routes Asia di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) Padang Matsirat, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kerajaan tidak berhasrat untuk mengenakan caj tambahan kepada penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selepas kerja naik taraf fasiliti tersebut siap kelak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan juga akan mengurangkan caj pengguna yang perlu dibayar oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada pihaknya.

“Di bawah perjanjian operasi (OA) antara kerajaan dan MAHB, mereka perlu bayar sejumlah caj kepada kerajaan. Jadi apabila kita minta MAHB untuk naik taraf lapangan terbang, ada sebahagian caj yang akan dikurangkan bagi menampung kos tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi di bawah perjanjian operasi baharu kita juga mempunyai Dana Pembangunan Lapangan Terbang ADF dan sekiranya perlu kita akan guna ADF sebagai sebahagian dana untuk LTAPP,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan program Routes Asia di Padang Matsirat, di sini, hari ini.

Beliau menyatakan, kos sebenar kerja naik taraf lapangan terbang tersebut juga hanya akan dimuktamadkan selepas proses pemberian tender selesai yang kini sedang menunggu pengesahan mesyuarat Kabinet akan datang.

Tambahnya, proses pemberian tender juga akan diuruskan sepenuhnya oleh MAHB dan kerja menaik taraf tersebut dijangka dapat bermula pada tahun ini dan mengambil masa selama tiga ke empat tahun untuk disiapkan.

“Sebahagian kos naik taraf lapangan terbang tersebut turut akan ditanggung oleh kerajaan negeri seperti infrastruktur yang terletak berdekatan dengan lokasi lapangan terbang tersebut,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan kerajaan merancang membesarkan LTAPP dan Lapangan Terbang Subang bagi menggalakkan kemasukan pelabur, peniaga dan pelancong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu jauh lebih menjimatkan berbanding membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan menelan belanja RM7 bilion. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini