KOTA KINABALU: Ahadin Arinen menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.
Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Turut menerima pelantikan pada hari ini adalah dua orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah iaitu Surayah Ramlee dan Taherah Tahir.
Majlis itu disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Pelantikan Ahadin berkuat kuasa 1 November tahun lalu, pelantikan Suraya berkuat kuasa 19 Jun lalu manakala, pelantikan Taherah berkuat kuasa pada 16 Oktober 2023.
Hadir sama adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Yang
Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Seri Yahya Hussin, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie, Datuk Amran Mat Zain dan Ketua Pegawai Eksekutif Muis, Ramlan Awang Ali. – UTUSAN











