KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki memperdaya kontraktor bagi mendapatkan projek pembaikan sekolah bernilai RM1.5 juta membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini.
Tertuduh, Sidu Edin,58, mengaku tidak bersalah dihadapan Hakim, Jason Juga terhadap pertuduhan menipu dengan memperdaya seorang kontraktor hingga menyebabkannya menyerahkan wang berjumlah RM150,000.
Tertuduh membuatkan kontraktor tersebut mempercayai bahawa dia boleh membantu kontraktor tersebut untuk mendapatkan projek pembaikan kerja-kerja darurat (AP55) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terusan Sugut di Beluran.
Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan bayaran RM15,000, deposit sebanyak RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut menetapkan 2 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh turut diperintahkan untuk melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat sekali dalam tempoh dua bulan dan passport antarabangsa tertuduh hendaklah diserahkan kepada mahkamah.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi dan tertuduh diwakili peguam Mohd. Fadzri Azham Zaunudin. –UTUSAN











