Polis akan panggil penganjur perhimpunan #Reformasi100Peratus  - Utusan Malaysia

Polis akan panggil penganjur perhimpunan #Reformasi100Peratus 

bersih
Perhimpunan #Reformasi100Peratus di luar bangunan Parlimen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil penganjur perhimpunan #Reformasi100Peratus yang diadakan di luar bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kita akan panggil penganjur dalam masa terdekat. Pihak polis setakat ini sedang mengenal pasti individu-individu terlibat dalam perhimpunan ini,” katanya di sini hari ini. 

Terdahulu dianggarkan kira-kira 60 peserta yang majoriti memakai pakaian berwarna kuning dan hitam mula berkumpul seawal pukul 8 pagi dalam perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Kesemua peserta memulakan perarakan dari Plaza Tugu Negara menghala ke Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum.

Tinjauan  mendapati seramai lapan peserta dilihat berucap bagi mendesak tiga tuntutan janji reformasi kepada pihak kerajaan.

Antaranya, Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz; Timbalannya, Wong Yan Ke, aktivis dan bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi. 

Seramai 25 anggota dan pegawai polis dilihat berkawal ketika peserta berarak dan berhimpun dari Tugu Negara dan Parlimen di sini. 

Perhimpunan tersebut berlangsung secara aman dan terkawal sebelum selesai kira-kira pukul 10 pagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×