Perjelas status 147 undang-undang lapuk

Perjelas status 147 undang-undang lapuk

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta memperjelas status 147 undang-undang yang dianggap lapuk jika terdapat kajian dilakukan sama ada meminda atau memansuhkannya.

Ia susulan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, menyaksikan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) diarah meneliti 147 undang-undang dikatakan tidak relevan sekali gus menuntut reformasi segera.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus membuktikan berlaku reformasi undang-undang kerana beliau adalah pencetus slogan reformasi sebelum menjadi kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mewujudkan jawatankuasa tetap mengenai reformasi perundangan termasuk di Parlimen, bagi mengkaji undang-undang lapuk yang terlibat.

“Perkara ini sangat penting untuk negara dan rakyat yang sedang menunggu banyak perkembangan dalam kelompok transformasi.

“Namun, saya melihat terlalu banyak retorik politik berbanding transformasi undang-undang. Saya mendapati kata-kata usang ini tidak disusuli dengan tindakan.

“Sebenarnya, perkara ini terletak di tangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan terserah kepada beliau melihat apa yang perlu dilaksana,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pada Jun 2022, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Perdana Menteri ketika itu mengarahkan supaya BHEUU mengkaji dan meneliti undang-undang sedia ada termasuk 147 undang-undang yang lapuk. Beliau bagaimanapun tidak memperinci senarai undang-undang tersebut.

Pada pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Putrajaya, 9 Januari lalu, Majlis Peguam menggariskan 65 reformasi undang-undang antaranya mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Majlis Peguam turut menyuarakan gesaan menggubal akta berkaitaan pendanaan politik, kerana ketiadaan undang-undang yang mengawal selia wang diguna untuk kempen dan calon pilihan raya berpotensi membawa kepada korupsi dalam peringkat lebih tinggi.

Pada 4 Disember tahun lalu, Azalina dilaporkan berkata, kerajaan sedang giat mengatur dan mengorak pelbagai langkah ke arah reformasi perundangan lain yang akan dilaksana secara berfasa.

Sementara itu, peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali ketika dihubungi berkata, terdapat keadaan mendesak untuk kerajaan memansuh Akta Hasutan 1948, kerana undang-undang itu sering disalahguna oleh kerajaan bagi menyekat kebebasan bersuara.

“Ini isu sering kita lihat apabila rakyat bersuara, parti politik pula dengan meletakkan tekanan supaya jangan bersuara. Sekarang saya belum lihat gerak kerja untuk memansuhkan akta ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, memandangkan saranan semakan 147 undang-undang itu sudah lama disuarakan, Jabatan Peguam Negara (AGC) wajar menjelas bentuk undang-undang terlibat yang sudah dan akan dikaji.

“Kita tiada pengetahuan apakah undang-undang berkenaan yang dikatakan lapuk. Kecuali, AGC membuat sesi libat urus berkaitan penambahbaikan tentang undang-undang lapuk ini.

“Jadi, ia terletak di tangan kerajaan sama ada mahu kekal dengan undang-undang sedia atau tidak perlu membuat sebarang pembaharuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini