Tourism Selangor sasar tingkat pelancongan dari India 

Tourism Selangor sasar tingkat pelancongan dari India 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tourism Selangor menyasarkan tahun 2024 merupakan masa yang sesuai untuk negeri itu menyambung semula kerjasama meluas dengan pemain industri pelancongan di India.

Delegasi dari Malaysia juga telah mengadakan sesi program rangkaian perniagaan kepada perniagaan (B2B) bersama ejen-ejen pelancongan di Chennai, Kolkata dan Ahmedabad.

Dengan populasi mencecah lebih 70 juta orang di ketiga-tiga daerah, India merupakan salah satu pasaran pelancongan terbesar untuk Malaysia, terutamanya negeri Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad berkata, tahun ini adalah masa yang sesuai untuk Selangor menyambung semula kerjasama meluas dengan pemain industri pelancongan di India.

Katanya, disokong oleh jumlah penerbangan yang kerap dengan 181 penerbangan setiap minggu serta kapasiti 33,851 tempat duduk, pihaknya yakin terdapat lonjakan pelancong dari India ke Malaysia pada tahun-tahun akan datang.

“Dengan misi untuk mencapai kemasukan seramai 7 juta pelancong semasa Tahun Melawat Selangor 2025, kami telah menandatangani memorandum kerjasama dengan Persatuan Pengembaraan dan Pelancongan Tamil Nadu Selatan (STATT), Persatuan Pengusaha Pelancongan Luar India (OTOAI) serta Rangkaian Ejen MICE India (NIMA) bagi mempergiatkan lagi usaha promosi silang antara Selangor dan India.

“Kami turut menjangkakan hubungan dua hala antara Selangor dan India akan terus kukuh dan makmur,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Selangor juga menerima seramai 65,573 pelancong dari India pada 2022, jumlah tertinggi berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

Tourism Selangor telah memulakan jerayawara antarabangsa dan mengambil bahagian dalam South Asia’s Travel and Tourism Exchange (SATTE) di India yang berlangsung dari 12 hingga 24 Februari lalu.

Jerayawara antarabangsa pertamanya tahun ini bertujuan memperkenalkan Selangor di peringkat global, khususnya bagi menarik para pelancong dari India yang mencatat kemasukan pelancong tertinggi ke negeri ini.

Jelas Azrul Shah, penyertaan dalam promosi itu turut memasarkan segmen pelancongan fokus negeri Selangor seperti pelancongan makanan, ekopelancongan, pelancongan perubatan, taman tema dan lokasi acara perkahwinan.

“Beberapa produk pelancongan turut dibawa untuk menarik permintaan di India seperti Sunway Lagoon, Sunway Pyramid, Taman Tema Air SplashMania, Sky Mirror Kuala Selangor dan Sekinchan,” katanya.

Pasaran Asia Tenggara adalah antara penyumbang utama kedatangan pelancong antarabangsa ke Selangor  sebelum wabak Covid-19. Pada 2019, Selangor telah menerima 186,434 pelancong dari India.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×