Petronas Chemicals catat untung bersih RM1.8 bilion

Petronas Chemicals catat untung bersih RM1.8 bilion

MAZUIN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menca­tatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM1.8 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Di­sember 2023, penurunan berban­ding RM6.3 bilion pada tahun sebelumnya, selaras dengan tahun yang mencabar untuk industri kimia global.

PCG dalam kenyataan berkata, pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan dan pemulihan China yang lebih perlahan daripada jangkaan telah memberi kesan kepada industri yang menyebabkan permintaan produk dan harga semakin rendah.

Pada masa yang sama, ketegangan geopolitik menyebabkan harga tenaga kekal tinggi, mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah dan penekanan margin.

Bagi tempoh yang sama, syarikat merekodkan pendapatan sebanyak RM28.7 bilion, penurunan marginal berbanding RM29.0 bilion pada tahun kewangan 2022.

Tambahnya, penggunaan loji dicatatkan pada 85 peratus berbanding tahun sebelumnya pada 89 peratus di samping cabaran-cabaran operasi serta aktiviti-aktiviti pemulihan dan penyelenggaraan berkanun yang dijalankan pada tahun tersebut.

Pada suku keempat, hasil PCG meningkat sebanyak enam peratus suku ke suku kepada RM7.2 bilion, berikutan jumlah pengeluaran dan volum jualan yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, PAT menurun kepada RM142 juta atas penyebaran produk yang lebih rendah serta kos tenaga dan utiliti yang lebih tinggi.

PCG mengumumkan pembayaran dividen interim kedua sebanyak 5 sen sesaham berjumlah RM400 juta, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun kewangan 2023 adalah RM1.0 bilion yang mewakili 61.3 peratus daripada PAT dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATANCI).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, cabaran yang dilalui pada 2023 dijangka berterusan hingga 2024 kerana pemulihan ekonomi dijangka kekal perlahan namun peluang dalam pelbagai sektor masih ada.

“Harga etilena dijangka me­ningkat pada akhir tahun selaras dengan peningkatan penggunaan yang turut mendorong permintaan untuk polietilena dalam aplikasi pembungkusan.

“Untuk segmen baja dan metanol (F&M), harga urea dijang­ka stabil, dengan sokongan daripada musim penanaman di India dan larangan berterusan eksport urea dari China.

“Harga metanol mungkin berkurang kerana permintaan hiliran dijangka kekal rendah dan begitu juga dengan bahan kimia khusus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×