PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Negara, John Beasley yakin Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bakal menjadi harapan baharu Malaysia di Sukan Olimpik Los Angeles pada 2028.
Ini selepas atlet kelahiran Sungai Petani, kedah itu melakar kejutan dengan menamatkan penantian untuk meraih emas acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024, semalam.
Dalam aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi di New Delhi, India itu, Izzah mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba pilihan dar China, Tong Mengqi.
Beasley berkata, pencapaiaan Izzah itu merupakan satu peningkatan yang hebat dan diyakini mampu untuk memikul tugas sebagai atlet utama berbasikal wanita di Olimpik seterusnya.
“Saya fikir kita boleh memenangi keirin kerana Izzah dalam keadaan baik dan perkembangan Izzah jelas terbukti terdapat banyak segi peningkatan yang dapat dilihat.
“Kejohanan ini menunjukkan prestasi Izzah berada dalam peningkatan dan kita perlu pastikan dia berada dalam kitaran Olimpik 2028 sekaligus menjadi barisan wanita terkuat bakal kita ada,” katanya.
Untuk rekod, kejayaan Izzah juga menamatkan penantian pingat emas negara dalam acara ini yang kali terakhir dimenangi bekas ratu trek negara, Fatehah Mustapa ketika edisi 2012 di Kuala Lumpur.
Sementara itu, rakan sepasukan Izzah, Anis Amira Rosdi turut berjaya meraih gangsa selepas mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.
“Anis berlumba dengan sangat baik sepanjang minggu ini untuk memenangi pingat gangsanya juga amat membanggakan antara prestasi mereka berdua,” kata Beasley.
Dalam pada itu, Beasley turut memuji prestasi pelumba lelaki Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom biarpun kedua-duanya berputih mata selepas agal meraih pingat.
Shah yang gagal ke final terpaksa akur menduduki tempat kelapan keseluruhan manakala Ridwan yang beraksi dalam penentuan pingat kecewa apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima.-UTUSAN










