PETALING JAYA: Atlet berbasikal wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi apabila merangkul pingat emas acara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India sebentar tadi.
Perlumbaan akhir yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi, New Delhi itu menyaksikan Izzah mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pelumba China, Tong Mengqi.
Ini merupakan pingat emas pertama kem Malaysia di ACC kali ini selepas lima hari saingan berlangsung.
Lebih manis, kejayaan Izzah juga menamatkan penantian pingat emas negara dalam acara ini yang kali terakhir dimenangi bekas ratu trek negara, Fatehah Mustapa ketika edisi 2012 di Kuala Lumpur.
Rakan sepasukan Izzah, Anis Amira Rosdi turut berjaya meraih gangsa selepas mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga.
Terdahulu, Izzah turut meraih pingat gangsa acara pecut individu selepas menewaskan pelumba Jepun, Aki Sakai 2-0 dalam aksi penentuan pingat gangsa Jumaat lalu.
Malang buat pelumba lelaki negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang gagal ke final apabila akur menduduki tempat kelapan keseluruhan.
Adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom yang beraksi dalam acara penentuan pingat terpaksa berputih mata apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima.
Pelumba Jepun, Kento Yamasaki meraih pingat emas acara ini, manakala Li Zhiwei dari China yang merangkul perak manakala gangsa dimenangi pelumba Hong Kong, Yung Tsun Ho.










