IPOH: Memperkukuh pasukan menjadi keutamaan Perak FC sebelum sepak mula Liga M 2024 pada Mei ini.
Setakat ini pengurusan pasukan The Bos Gaurus mengenal pasti tiga kelemahan pasukan itu musim lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin berkata, pasukan itu lemah di bahagian pertahanan, tengah dan serangan.
Justeru, katanya, Perak FC sedang berusaha mendapatkan khidmat seorang penjaga gol, bek, tengah dan penyerang.
“Ada lima kekosongan lagi dalam pasukan. Kita sudah ada calon untuk mengisi semua kekosongan.
“Saya tidak boleh dedahkan nama pemain sehinggalah mereka selesai menjalani ujian kecergasan,” katanya.
Menurut Bobie, pasukan Kejor Yob Kejor juga akan mendapat khidmat tiga lagi pemain import bagi memantapkan pasukan.
Setakat ini Bos Gaurus mempunyai khidmat Sunday Afolabi, Luka Milunovic,Jasper Nyholm dan Luciano Guaycochea serta kapten B-23 Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov. – UTUSAN










