KUANTAN: Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya disaran memberikan tumpuan kepada meningkatkan perkhidmatan pelancongan domestik dan digital nomad bagi memperkukuhkan kemampanan ekonomi negara serta meningkat aliran ringgit.
Bekas exco pelancongan Pahang yang dua penggal memegang jawatan tersebut, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dua perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan kerana ia mampu memacu sektor pelancongan dalam negara.
“Dalam keadaan sektor pelancongan merudum dan terjejas ketika ini, kementerian seharusnya mencari penyelesaian terbaik dan fokus kepada mempromosikan pakej pelancongan domestik yang inklusif untuk mendorong pelancong tempatan melancong serta berbelanja dalam negara.
“Daripada kita memberikan tumpuan kepada pelancong Eropah, Timur Tengah dan China, tidak ramai pun yang melancong ke negara ini dan jika ada pun, mereka bukan datang ke Malaysia atas tiket pelancong.
“Negara ini ada seramai 30 juta rakyat, jadi beri tumpuan kepada memperkenalkan pakej pelancongan inklusif. Sediakan tempat penginapan selesa, harga berpatutan. Apa yang penting dan utama, kita galakkan rakyat melancong dalam negara dengan pakej dan tawaran menarik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, selain pelancongan domestik, digital nomad juga penting untuk diperkasakan kerajaan bagi memacu pelancongan negara.
“Dalam era digital yang semakin berkembang maju, konsep bekerja sudah mengalami perubahan besar. Salah satu perubahan terbesar munculnya digital nomad.
“Digital nomad adalah seseorang yang memanfaatkan teknologi moden untuk bekerja secara dalam talian dari mana saja di dunia. Jadi, ini kerajaan perlu memberikan fokus untuk menarik mereka supaya menjadikan Malaysia tempat tinggal mereka,” katanya.
Beliau dalam pada itu berharap supaya isu turun pangkat membabitkan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar diselesaikan dengan baik oleh kerajaan demi masa depan pelancongan negara.
“Saya sendiri pernah bekerja dengan Dr. Ammar selama 10 tahun dan beliau memiliki lebih 35 tahun pengalaman dalam bidang pelancongan sejak kementerian terbabit diwujudkan lagi. Jika ada isu berbangkit, selesai dengan cara terbaik,” katanya. – UTUSAN









