REMBAU: Sebanyak 52 buah negara yang menyertai sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda dari 16 Februari sehingga semalam, senada dengan Malaysia untu mengutuk kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua negara itu telah diberi peluang oleh ICJ untuk menyatakan pandangan mengenai isu tersebut dan perbuatan Israel mesti diambil tindakan tegas oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kali ini rasanya Israel tidak mempunyai banyak pilihan dan kita telah bersama-sama membentangkan hala tuju dan gencatan senjata yang kekal dengan cara mengadakan sistem dua negara yang mana kita pastikan negara Palestin yang merdeka mesti diakui.
“Palestin juga harus diakui menjadi sebahagian anggota masyarakat antarabangsa dan menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini yang sedang kita usahakan dan ICJ telah pun mendengar kesemua 52 negara yang membentangkan bantahan dan pandangan mereka yang tegas.
“Walaupun ada dua, tiga buah negara yang menyokong Israel tetapi nampaknya suara mereka ini tenggelam pada kali ini. Saya yakin lebih daripada tiga perempat negara yang membentangkan dengan tegas mempunyai pandangan yang sama dengan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Kejohanan Bolasepak Piala Tok Mat Parlimen Rembau 2024 di Padang Stadium Mini Rembau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, beliau mendapat maklum balas baik dari negara-negara Eropah, Afrika dan Asia yang memberikan sokongan terhadap suara tegas Malaysia berhubung isu Palestin.
“Rejim zionis Israel ini telah menduduki tanah Palestin secara haram selepas perang 1967 walaupun banyak resolusi-resolusi yang telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB dan pihak Majlis Keselamatan PBB.
“Israel masih berdegil tapi kali ini gelombang kutukan dunia terhadap rejim zionis Israel amat besar sekali,” katanya.
Dalam pada itu menurutnya, hasil pertemuan dengan Menteri Luar Palestin, Riyad Al Malki, beliau dimaklumkan setakat ini sekitar 31,000 rakyat Palestin terbunuh, 7,000 masih hilang berkemungkinan diculik dan ditahan serta diseksa, manakala hampir 100,000 orang cedera.
“Kita akan bersama-sama, negara pertama yang menyokong usaha usul yang dibawa Afrika Selatan berkenaan dengan genosid yang dilakukan Israel iaitu pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya.-










