300 pasangan Malaysia nikah di Thailand sebulan

300 pasangan Malaysia nikah di Thailand sebulan

KIRA-KIRA 60 peratus pernikahan pasangan Malasyia dilangsungkan di Thailand kerana ingin berpoligami.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YALA: Hampir 300 pasangan Malaysia dilaporkan bernikah di negara ini dalam tempoh sebulan.

Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pernikahan itu kebanyakannya berlaku kerana ingin berpoligami selain beberapa alasan lagi termasuk berkahwin dengan penduduk tempatan.

“Kesemua jumlah pernikahan itu berlangsung di lima wilayah negara ini melibatkan Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun.

“Daripada jumlah tersebut, saya boleh katakan 60 peratus pernikahan itu melibatkan poligami,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian ‘Melayu Day’ di sini, semalam.

Ahmad Fahmi berkata, pasangan yang bernikah di negara ini perlu ke pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla dan menyerahkan semua dokumen perkahwinan untuk pengesahan.

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan pasangan terlibat tidak dapat mendaftarkan pernikahan mereka di Malaysia sekali gus memberikan implikasi tidak baik.

“Perkara ini penting bagi memastikan dokumen pernikahan itu sah dan pasangan tersebut selamat diijab kabul. Hal ini kerana ada dalam kalangan sindiket yang mengambil kesempatan.

“Sebagai contoh, ada pasangan Malaysia sebenarnya tidak datang pun ke Thailand untuk bernikah. Sebaliknya mereka telah diperdaya oleh sindiket yang mengambil kesempatan, jadi tugas kami (konsulat) ialah melihat kembali dan melakukan pengesahan pernikahan itu,” ujarnya.

Beliau menasihatkan pasangan yang bernikah di sini supaya mendaftarkan perkahwinan mereka sejurus selepas pulang ke tanah air.

Katanya, kegagalan berbuat demikian boleh mengundang pelbagai masalah termasuk soal kerakyatan, pewarisan harta dan sebagainya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×