KOTA BHARU: Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendakwacadangan pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dalam sesi Pendengaran Awam bagi cadangan Pengubahsuaian Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas) hari ini bercanggah dengan Rancangan Pemajuan Fizikal di peringkat nasional.
Pegawai Lapangannya, Meor Razak Meor Abd. Rahman mendakwa, pada masa sama keputusan itu turut dilihat bercanggah dengan tugas am kerajaan negeri mengikut Seksyen 6B(5) dan Akta Perancangan Desa 1976 (Akta 172)
“Selepas mendengar perincian dalam sesi pendengaran itu, kami tidak berpuas hati kerana tindakan itu bercanggah dengan rancangan kemajuan di peringkat nasional.
“Kerajaan negeri perlu mengekalkan dan memelihara KSAS terutama KSAS berisiko bencana, nilai sokongan hidup, warisan biodiversiti dan warisan geologi bagi memastikan pembangunan mampan dan mesra alam,” katanya kepada pemberita ketika diitemui di luar pekarangan Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.
Terdahulu, selain SAM, lapan lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Persatuan Pecinta Alam Malaysia (MNS), Persatuan Pecinta Alam Malaysia Cawangan Kelantan, Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung (Jaringan), Persatuan Cakna Alam Kelantan, WWF Malaysia, Greenpeace dan Save Kelantan turut membantah tindakan tersebut.
Sementara itu, Pengerusi KUASA, Hafizudin Nasarudin berkata, kerajaan negeri terlebih dahulu perlu mempertimbangkan cadangan untuk memajukan rancangan pembangunan KSAS kerana ia membabitkan kawasan perkampungan Orang Asli.
“Sekiranya KSAS dimajukan ia mungkin akan memberi ruang kepada aktiviti pembangunan yang tidak sesuai dan di Kelantan terdapat banyak aktiviti pembalakan yang lebih cenderung kepada ‘tebang cuci mangkuk’ atau tebang habis.
“Selain itu, banyak lagi perkara yang akan berlaku, antaranya aktiviti perlombongan, pembukaan ladang dan kebun sayur yang akan dibuka di kawasan hutan simpan,” katanya. – UTUSAN










