KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu melancarkan pertandingan merakam gambar dasar laut Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2024 (SMUPA) untuk mempromosikan keindahan alam semulajadi negeri itu.
Pertandingan yang mula diperkenalkan pada tahun 2023 itu merupakan cetusan idea Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dengan memfokuskan keindahan dan keunikan khazanah alam semulajadi di dasar laut yang terdapat di perairan negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Sulaiman Sulong berkata, pihaknya yakin penganjuran pertandingan fotografi itu akan dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan di pulau-pulau yang terdapat di Terengganu pada tahun ini dengan lebih 1,000 penyertaan.
“Sudah pasti, kita harap ia juga dapat menarik lebih ramai peminat selam skuba dan fotografi dari dalam dan luar negara untuk menerokai keindahan dasar laut Terengganu.
“Melalui kajian profiling selam skuba yang dilakukan, kerajaan kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu telah mengenal pasti lebih daripada 128 tapak selaman dengan pelbagai keunikan yang boleh diterokai bagi peminat aktiviti selam skuba dan juga jurugambar dasar laut di tujuh pulau utama di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2024 (SMUPA) di Dataran Shahbandar, di sini, hari ini.
Tujuh pulau utama di Terengganu yang memiliki lokasi selam menarik ialah Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah, Gemia dan Pulau Bidong
Mengulas lanjut, Sulaiman berkata,
pertandingan itu adalah terbuka kepada semua peserta dari dalam dan luar negara dan tidak melibatkan sebarang yuran penyertaan.
“Gambar-gambar pertandingan dihantar secara dalam talian bermula pada 1 Mac hingga 31 Oktober 2024 dan semua gambar wajib diambil di perairan negeri Terengganu.
“Penyertaan maksimum ialah dua gambar bagi setiap kategori dan setakat ini terdapat lima kategori dipertandingkan dan mereka yang berminat untuk menyertainya boleh melayari laman web rasmi https://sultanmizanphotography.com/ untuk perincian lanjut,” katanya.
Untuk rekod, kehadiran pelancong ke negeri Terengganu pada 2023 adalah seramai 3.6 juta orang dan daripada jumlah tersebut, seramai 330,528 pengunjung direkodkan berkunjung ke pulau-pulau Terengganu. – UTUSAN










