TELUK INTAN: Tindakan cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya (SJR) menjadi punca anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencabut kunci beberapa penunggang motosikal seperti video tular di laman sosial sejak pagi tadi.
Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak, Mir Khairol Hafizal Mir Idris berkata, insiden itu berlaku ketika Op Khas Motosikal dijalankan sempena Tahun Baharu Cina 2024 di Kilometer 3, Jalan Changkat Jong-Bidor pada Rabu lalu.
“Semasa operasi dijalankan, terdapat segelintir penunggang motosikal cuba berpatah balik dengan melawan arus untuk lolos dari sekatan jalan raya.
“Tindakan itu membahayakan pengguna jalan raya lain. Disebabkan itu, beberapa anggota penguatkuasa ditugaskan untuk memberhentikan motosikal berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, tindakan amaran diberikan kepada penunggang motosikal selepas pemeriksaan yang dijalankan mendapati, mereka mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang berkuat kuasa.
Katanya, amaran dan nasihat juga diberikan kepada mereka supaya tidak mengulangi kesalahan sama kerana tindakan melarikan diri dari SJR boleh mengundang risiko kemalangan.
“Tindakan yang tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri malah pengguna jalan raya lain serta anggota penguatkuasa.
“Rutin pemeriksaan dilakukan ketika SJR adalah untuk menguatkuasakan undang-undang. Tiada keperluan untuk melarikan diri dari sekatan kecuali terbabit dengan kes jenayah besar,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, dalam operasi tersebut, pihaknya menyita 58 buah kenderaan di mana 383 notis saman P22 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang direkodkan adalah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, pamer nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan pelbagai kesalahan lain,” katanya. – UTUSAN









