MBM perlu terus perkasa belia,  merai kebersamaan - TPM  - Utusan Malaysia

MBM perlu terus perkasa belia,  merai kebersamaan – TPM 

ahmad zahid
AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk terus kehadapan terutama dalam pemerkasaan golongan belia.

Ahmad Zahid berkata, harapan beliau terhadap MBM adalah mampu untuk menggerakkan belia sebagai ejen perpaduan, membentuk pemikiran belia meraikan kepelbagaian dan membantu kerajaan mengisi negara dengan kejayaan demi kejayaan.

“Kepada anakanda Izzat Afifi (Presiden MBM) dan barisan jawatankuasa MBM 2022-2024, cabaran dan pendekatan pastinya berbeza mengikut zaman. Di atas bahu kalian amanah untuk mencipta agenda yang jelas dan sesuai dengan kehendak generasi masa kini.

“Semoga MBM dapat terus menjadi kilang melahirkan pemimpin negara, menongkah segala cabaran dengan kebersamaan, kecekalan dan kebijaksanaan serta kekallah menjadi sebuah majlis yang relevan serta berpengaruh di dalam mengangkat suara belia,” katanya di dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Untuk rekod, MBM menganjurkan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-72

Ucapan perasmian penutup Presiden UMNO itu dibaca oleh Setiausaha politiknya, Datuk Megat Zulkarnaian Omardin kerana Ahmad Zahid tidak  hadir disebabkan perubahan jadual kerja.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, perjalanan mesyuarat MBM itu tetap diamati oleh beliau kerana tersandar setinggi harapan kepada pertubuhan tersebut dalam memikul amanah memimpin hala tuju belia ke arah pembinaan generasi Madani yang unggul.

“75 tahun usia MBM adalah refleksi kepada kematangan dan pengalaman yang seharusnya dijadikan pedoman bekal mencipta Visi MBM 2048 yang lebih inklusif serta holistik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN