PETALING JAYA: Suami isteri yang khayal dadah diberkas polis selepas tersilap membancuh susu bayi mereka menggunakan cecair dadah syabu dalam kejadian di flat Taman Medan, di sini pada 19 Februari lalu.
Pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu diadukan pihak Hospital Kajang pada 20 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata,bayi lelaki berusia setahun empat bulan itu dipercayai dihantar suami isteri terbabit kepada neneknya berusia 55 tahun yang tinggal di Seri Kembangan pada hari kejadian.
Katanya, semasa dalam jagaan neneknya, mangsa dikatakan tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal.
“Wanita itu kemudian bertanyakan punca tingkah laku pelik bayi itu kepada ibu mangsa.
“Ketika itu, ibu mangsa berusia 34 tahun mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya berusia 40 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Susulan itu, Shahrulnizam berkata, pihaknya menahan suami isteri terbabit di rumah mereka di Taman Medan pada 20 Februari lalu.
“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah.
“Semakan dilakukan juga mendapati suspek lelaki yang bekerja sebagai penjual air balang mempunyai rekod berkaitan kes dadah,” katanya.
Jelasnya mangsa kini berada dalam pemantauan pihak Hospital Kajang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya.- UTUSAN











