Usah politikkan kejatuhan ringgit

Usah politikkan kejatuhan ringgit

ANWAR Ibrahim meneliti mushaf al-Quran selepas Majlis Perasmian Restu Global Quranic Arts Festival 2024 di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, semalam. –UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu kejatuhan ringgit sebagai modal politik tanpa melihat angka dan data terkini ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, ang­ka dan data ekonomi me­nunjukkan Malaysia berada di landasan tepat.

“Sementara kita cari jalan untuk perbaiki (memulihkan ringgit), jangan jadikan ini (isu kejatuhan ringgit) sebagai sepak terajang politik hingga mengabaikan fakta sebenar.

“Walaupun kita ada masalah ringgit tapi pelaburan tahun lalu paling tinggi dalam sejarah. Kadang-kadang orang lupa..bila jadi isu politik, mereka nak hentam saja,” katanya ketika merasmikan Restu Global Quranic Art Festival di Kompleks Nasyrul Quran, di sini semalam.

Anwar turut melancarkan Mushaf Al-Ummah dan Buku ADAB Madani sempena festival yang berlangsung selama 10 hari itu.

Anwar berkata, jika dunia tiada keyakinan, sudah tentu pelaburan negara akan berada pada kadar perlahan.

“Ketika ini, kadar inflasi negara menurun malah, kadar pengangguran juga menurun dan pertumbuhan ekonomi kita dapat dipertahankan walaupun dalam keadaan dunia lembap.

“Walaupun kita harus ta­ngani masalah ringgit tetapi ia masih ditentukan oleh dolar Amerika Syarikat (AS). Perdagangan Malaysia yang terbesar adalah dengan China.

“Sehingga hari ini, kira-kira 25 peratus nilai dagangan dua hala Malaysia – China bersamaan RM250 bilion diselesaikan dalam ringgit dan renminbi. Kita tak guna AS dolar.

“Kalau guna ringgit dan matawang renminbi maka, isu dolar AS tidak ada kesan. Apa yang kita bimbang adalah kalau ringgit jatuh kemudian inflasi naik dan pelaburan terbantut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×