KUALA LUMPUR: 500 pesakit kanser dari hospital kerajaan bakal menerima rawatan secara percuma di hospital swasta di bawah IHH Healthcare Berhad.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, persetujuan itu dicapai dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan IHH Healthcare.
Katanya, pesakit akan dikenal pasti oleh pakar KKM yang ditetapkan untuk menerima rawatan di tujuh hospital IHH Malaysia yang dilengkapi dengan mesin Gamma Knife dan Linear Accelerator (LINAC).
“Dengan MoU yang diperbaharui, IHH Malaysia akan menaja rawatan radioterapi dan radiosurgeri bagi tambahan 500 pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan di hospital KKM mulai 1 Mac ini,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani MoU itu di sini, semalam.
Terdahulu, beberapa pakar kesihatan meramalkan penghidap kanser di Malaysia bakal meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2040.
Statistik menunjukkan, terdapat kira-kira 48,639 penghidap kanser baharu dan 29,530 kematian akibat kanser dilaporkan pada tahun 2020.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata,, tiga buah hospital di bawah IHH Healthcare akan terlibat dalam program itu ialah Hospital Pantai, Hospital Gleneagle dan Pusat Perubatan Prince Court.
Beliau juga menjelaskan MoU tersebut turut menyokong pelan Strategik Kawalan Kanser Kebangsaan (2021-2025) untuk meluaskan akses kepada penjagaan dan rawatan bagi pesakit kanser di negara ini. – UTUSAN










