IPOH: Seorang pemandu lori ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian IBG, di sini semalam.
Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan menerusi Op Tiris 3.0 yang dijalankan pada pukul 12.29 tengah hari.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan di sebuah premis yang dijadikan pusat pengumpulan minyak diesel bersubsidi itu dijalankan selepas risikan selama dua minggu ke atas lori tangki yang aktif beroperasi di sekitar Ipoh.
Katanya, hasil siasatan mendapati lori tangki tersebut tidak mengambil minyak melalui sumber yang sah sama ada dari depoh atau pembekal industri berlesen.
“Ketika serbuan dijalankan, kita berjaya menemui empat buah tangki IBC yang di dalamnya terdapat cecair yang disyaki minyak diesel bersubsidi.
“Dipercayai premis haram ini dijadikan tempat pengumpulan minyak yang diperoleh dari stesen-stesen minyak sekitar ipoh dan dikumpulkan di premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, minyak diesel yang dikumpul itu akan dijual kepada pengguna industri dengan harga industri dan mengambil keuntungan berlipat ganda.
“Sebanyak 3,000 liter cecair yang disyaki minyak diesel bersama lori tangki dan empat tangki IBC disita. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM48,180.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – UTUSAN










