Dua lelaki diberkas cuba seleweng diesel

Dua lelaki diberkas cuba seleweng diesel

KENDERAAN yang diubah suai dengan tangki tambahan untuk menyeleweng minyak diesel di sekitar Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dua lelaki ditahan setelah disyaki cuba menyeleweng minyak diesel bersubsidi dalam dua operasi di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, dekat sini pada Sabtu lepas.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, salah seorang daripada suspek yang juga lelaki warga Thailand diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA), ketika cuba menyeludup 500 liter diesel.

“Dalam operasi itu, pihak PGA menahan sebuah kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand dalam keadaan mencurigakan di simpang empat menghala ke Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam. 

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah tangki tambahan dibina di dalam kenderaan tersebut dan menemukan minyak diesel dalam anggaran 500 liter. Soal siasat terhadap pemandu juga tidak mempunyai apa-apa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, pemandu yang berumur 21 tahun itu ditahan dan dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini.

“Anggaran nilai rampasan minyak diesel adalah sebanyak RM1,075 dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM71,075,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, seorang lelaki tempatan ditahan di sebuah stesen minyak di Changlun pada pukul 10 malam hari yang sama kerana turut disyaki cuba menyeleweng minyak diesel.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebuah tangki tambahan dalam lori yang dipandu lelaki tersebut. Anggota penguat kuasa seterusnya bertindak menyita motor lori berkenaan dan minyak diesel dalam anggaran 200 liter. 

“Anggaran nilai rampasan minyak diesel adalah sebanyak RM430 dan anggaran nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM42,430,” jelasnya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya