JOHOR BAHRU: Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan tidak akan berundur daripada jawatan berkenaan walaupun terdapat desakan daripada peringkat akar umbi untuk beliau berbuat demikian.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Sri Gading itu memberitahu, beliau bertekad menggalas tanggungjawab sebagai ketua parti di negeri ini berdasarkan keputusan yang ditetapkan kepimpinan parti peringkat pusat.
“Pelantikan jawatan pengerusi negeri dibuat kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat, dan keputusan itu dibuat secara bersama setelah perbincangan dilakukan terhadap nama-nama calon.
“Dan keputusan peringkat pusat telah memutuskan saya, Aminolhuda Hassan selaku Pengerusi Amanah Johor. Jadi saya menurut perintah itu dan sedia untuk terus menggalas tanggungjawab ini.
“Saya tidak boleh menurut pandangan segelintir pihak lain, sebab itu kita lakukan pemilihan, sama seperti jawatankuasa di peringkat negeri, kita beri peluang kepada semua calon, ini keterbukaan kita dalam Amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor di Hotel dan Resort KSL, di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat desakan khususnya daripada wakil pemuda Amanah Johor yang mendesak agar terdapat perubahan terhadap jawatan Pengerusi Amanah negeri yang disandang Aminolhuda.
Sementara itu, Aminolhuda yang juga merupakan Ahli Parlimen Sri Gading turut memberitahu, kekosongan jawatan Pengerusi PH Johor yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dijangka diisi sebelum perayaan Aidilfitri, tahun ini.










