KUALA LUMPUR: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah menyalurkan pembiayaan lebih RM1.3 bilion bagi membantu usahawan dan mencipta lebih 35,000 pekerjaan melalui pembangunan lebih daripada 150 jenama francais sejak 2016.
Malah, Pernas dan Malaysia International Franchise Sdn. Bhd. (MyFranchise) akan melabur sebanyak RM62 juta untuk tempoh lima tahun sehingga 2029 dalam inisiatif menambah 50 outlet Gloria Jean’s Coffees dan 100 buah outlet 1901 Frankfurters.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, usaha Pernas itu seiring dengan matlamat ekonomi madani untuk menyokong usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di samping membantu mereka meningkatkan kapasiti perniagaan serta daya saing.
Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan menjadi lebih holistik, Jemaah Menteri bersetuju dengan pemusatan ekosistem francais melalui aspek tadbir urus dan kawal selia industri francais di bawah Akta Francais 1998 diletakkan di bawah KUSKOP.
Katanya, keputusan Jemaah Menteri itu menyokong penuh usaha KUSKOP dalam menyediakan Dasar Pembangunan Usahawan Francais Nasional 2030 yang sedang dimuktamadkan untuk memastikan ekosistem keusahawanan francais di negara ini akan terus berkembang dengan lebih teratur dan berstruktur, sekaligus membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan potensi keusahawanan di Malaysia.
“Dasar ini juga adalah sejajar dengan kerangka ekonomi Madani khususnya dalam membangunkan ekonomi negara melalui industri francais.
“KUSKOP sentiasa menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh Pernas terutamanya dalam usaha untuk memacu keusahawanan francais dan menjadikannya sektor perniagaan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berucap pada majlis peluncuran `Flagship Store’ 1901 Frankfurters dan Gloria Jean’s Coffees serta menandatangani perjanjian strategik ekosistem Malaysia International Franchise Sdn. Bhd. di Menara Pernas, Bangsar, semalam.
Ewon berkata, kewujudan jenama seperti 1901 Frankfurters dan Gloria Jean’s Coffees (GJC) menunjukkan perniagaan francais mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi dalam mendepani pelbagai cabaran ekonomi sama ada tempatan mahu pun global.
“Saya percaya, model perniagaan francais yang kukuh ini boleh memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan yang berminat untuk menceburi dunia francais,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, pembukaan 50 autlet baharu GJC itu, dengan unjuran jualan sebuah outlet sebanyak RM1.8 juta setahun, dijangka mencipta 500 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.
Beliau berkata, outlet Frankfurters pula dijangka menghasilkan jualan sebanyak RM600,000 setahun dan mencipta 400 peluang pekerjaan.
“Selaras dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang sejahtera dan makmur, pendekatan Pernas dalam memajukan ekonomi negara melalui industri francais diharapkan akan menyumbang secara signifikan kepada peningkatan kesamarataan ekonomi. Ini sesuai dengan konsep teras Kerajaan Madani yang menekankan pembangunan inklusif dan adil untuk semua,” katanya. – UTUSAN










