TANJUNG MALIM: Bagi meringan beban membeli barang dapur, suri rumah diajak menanam sayur-sayuran terutama cili di kawasan rumah.
Pembekal benih cili bara iaitu Muhammad Izwan Ismail, 38, dari Kampung Sri Keledang, Slim River berkata, tanaman sayur-sayuran seperti cili padi bara mudah dan secara tidak langsung menjimatkan kos barang dapur.
“Cili ini memang kita gunakan secara kerap untuk masakan seperti nasi goreng, ikan kembung masak pedas dan sambal belacan, jadi sebaiknya kita tanam sahaja di rumah, bila masak, senang petik sahaja,” katanya bapa kepada tiga anak di sini, baru-baru ini.
Muhammad Izwan berkata, tanaman secara asas dan bukan ladang ini hanya memerlukan pokok cili mendapat sumber air, baja dan suhu yang secukupnya iaitu panas dan kering.
“Malah, kita boleh menggunakan barang-barang terbuang seperti tong cat, baldi dan botol air untuk dijadikan pasu.
“Sementara itu, baja tidak memerlukan yang mahal cukup dengan bahan buangan seperti air rebusan beras, serbuk teh atau kopi atau sisa makanan lain,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau menjual anak pokok cili bara itu RM4 setiap satu dan harga cili padi bara adalah sekitar RM20 sekilogram di pasaran.
Dalam pada itu, Muhammad Izwan turut menggalakkan isi rumah menanam pokok dan sayuran lain seperti serai, kangkung, terung, timun, daun kunyit dan daun kari.
“Berbakti dengan tanah ini banyak manfaatnya, cuma kita sahaja mahu atau memberikan seribu satu alasan,” katanya. – UTUSAN











