THE HAGUE: Amerika Syarikat (AS) menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar tidak memerintahkan pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin tanpa jaminan keselamatan.
Perkara itu dinyatakan oleh pemangku penasihat undang-undang di Jabatan Negara AS, Richard Visek di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Menurut AS, gesaan pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin yang diduduki perlu mengambil kira keperluan keselamatan sebenar Zionis.
Jelas wakil itu, AS ketika ini sedang berusaha untuk mencari penyelesaian secara damai bagi Israel dan Palestin, selain membuka jalan untuk penubuhan negara Palestin.
Dilaporkan, ICJ sedang mendengar hujah dibentangkan lebih 50 negara mengenai kesan undang-undang pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Wakil dari Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cuba antara yang hadir pada hari ketiga sesi pendengaran awam yang berlangsung di mahkamah dunia itu.
Dalam pada itu, wakil dari Mesir, Jasmine Moussa menegaskan serangan berterusan Israel ke atas Gaza mengakibatkan lebih 29,000 rakyat Palestin terbunuh dan 2.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Malah, katanya, tindakan rejim Zionis itu melanggar undang-undang antarabangsa.
“Amat mengejutkan apabila mendapat tahu beberapa negara tidak mahu mahkamah memberikan pendapat undang-undangnya.
“Apa mesej cuba disampaikan mengenai penghormatan mereka terhadap keadilan antarabangsa dan kedaulatan undang-undang?,” katanya.
Jasmine yang juga penasihat undang-undang Mesir memaklumkan negara Asia Barat mengimpikan `keamanan dan kestabilan’ serta `penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan kepada konflik Palestin-Israel’.
Sementara itu, wakil UAE, Lana Nusseibeh menyifatkan penubuhan negara Palestin yang merdeka dan aman terancam oleh pencabulan Israel yang semakin meningkat secara mendadak baru-baru ini.
Justeru, katanya, UAE yakin mahkamah akan menentukan kesannya akibat pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
“Berdasarkan kenyataan PBB, 2023 merupakan tahun paling dahsyat bagi rakyat Palestin di Tebing Barat,” katanya.
Lana menegaskan Israel harus menghentikan semua dasar dan amalan yang menghalang pelaksanaan hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Tambahnya, Israel juga harus memastikan kebebasan akses ke tempat-tempat suci dan menghormati status quo undang-undang dan bersejarah kawasan ini.
Wakil UAE itu mengakhiri kenyataannya dengan menggesa gencatan senjata dilaksanakan di Gaza , selain mengkritik kegagalan Majlis Keselamatan PBB untuk menerima pakai resolusi damai. – AGENSI/REUTERS










