KUALA LUMPUR: Menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghilangkan diri sejak Mei tahun lalu, diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan membabitkan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 48, telah selesai dilengkapkan.
“Kita telah hantar kertas siasatan itu bagi pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali-10 di Dewan Tun Hussien Onn di sini, hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan Notis Merah terhadap Muhammad Adlan dan peguam, Mansoor Saat, 69.
Sebelum itu, beberapa dokumen diperlukan termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu berkenaan telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.
Akhbar ini juga sebelum ini melaporkan, tindakan memanggil Muhammad Adlan adalah kali pertama dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Keterangan Mansoor pula telah diambil namun dia dipanggil semula bagi melengkapkan siasatan.
Difahamkan, kedua-dua mereka ini dalam proses untuk dituduh di mahkamah membabitkan kes yang sedang disiasat ini.
Utusan Malaysia juga sebelum ini mendedahkan, keberadaan Muhammad Adlan di luar negara kerana mempunyai urusan kerja dijadikan sebagai alasan beliau tidak pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan SPRM.
Muhamad Adlan dikatakan akan menyelesaikan urusan kerja tersebut dalam tempoh beberapa minggu selepas dia keluar dari negara ini pada 17 Mei tahun lalu.
Namun, sejak tarikh tersebut dia terus memberi alasan-alasan tertentu dan tidak juga kembali ke tanah air.
Semakan rekod oleh SPRM juga mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei tahun lalu. – UTUSAN











