KOTA BHARU: Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) meminta kerajaan menyalurkan bantuan segera kepada pekebun dan penoreh getah terutama di Kedah serta Perlis yang sedang berdepan dengan musim kemarau ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Presidennya, Kameruzaman Ab. Rahman berkata, cuaca panas ‘melampau’ yang melanda negeri-negeri berkenaan ketika ini menyebabkan pengeluaran susu getah berkurangan sekali gus menjejaskan sumber pendapatan golongan berkenaan.
Menurutnya, keadaan harga bahan mentah berkenaan yang masih belum stabil di pasaran ketika ini menambahkan tekanan buat pekebun dan penoreh dalam berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Selain menunggu kedatangan bulan Ramadan, para penoreh dan pekebun turut berdepan dengan penggal baharu persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.
“Dengan situasi semasa ketika ini, saya lihat ia menjadi tempoh yang sukar buat golongan berkenaan untuk mengharunginya,” katanya ketika temui di sini semalam.
Kameruzaman memberitahu, sudah tiba masanya kerajaan memberi tumpuan terhadap sektor hiliran seperti pembuatan tayar, pengeluaran sarung tangan getah, tilam, bantal bagi meningkatkan harga getah.
Katanya, usaha itu mampu membela nasib pekebun dan penoreh sekali gus memastikan jangka hayat getah terus berpanjangan pada masa akan datang.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, cuaca panas yang diburukkan lagi dengan lebih sebulan tiada hujan di Perlis menyaksikan pokok getah dan hasil susu getah kering sekali gus memberi kesan kepada penoreh.
Malah, kebun-kebun getah khususnya di Chuping yang merupakan antara titik panas di negeri ini menjadi lokasi paling terjejas.
Chuping pernah merekodkan suhu tertinggi dan terpanas di Malaysia, iaitu 40.1 darjah celsius pada 9 April 1998.
Sementara itu, seorang penoreh, Boom-Mee Chai berkata, cuaca panas khususnya di Chuping menyebabkan pokok getah dan daun mula kering sekali gus mengganggu proses menoreh apabila hasil berkurangan akibat cepat kering. – UTUSAN










