Masjid Sungai Ramal Luar santuni OKU - Utusan Malaysia

Masjid Sungai Ramal Luar santuni OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID Sungai Ramal Luar merupakan satu-satunya masjid di daerah Hulu Langat yang menganjurkan pelbagai program menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU). 

Difahamkan hanya terdapat dua masjid sahaja di Selangor, termasuk sebuah lagi di Tanjong Karang yang menganjurkan aktiviti khusus untuk OKU. 

Nazir masjid, Ahmad Kidzbullah Riduan berkata, pelbagai program sudah diaturkan sepanjang tahun ini yang melibatkan kerjasama Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat dengan penyertaan seramai 40 orang termasuk kanak-kanak dan dewasa.  

“Kita masjid tunggal yang menyediakan kelas untuk OKU di daerah ini. 

“Antaranya seperti kelas al-Quran dan fardu ain yang dianjurkan pada minggu kedua dan keempat setiap bulan, kelas al-Quran Braille dan kelas menjahit.

 “Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Disember setiap tahun pula, akan dianjurkan di masjid ini pada 7 Disember tahun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini. 

 

JANA PENDAPATAN 

Masjid ini sinonim menjadi tumpuan sumbangan dan sedekah daripada orang ramai. 

Namun, Ahmad Kidzbullah berkata, pihaknya turut aktif menjana pendapatan dengan menyewakan empat lot kedai di pekarangan masjid. 

Antaranya terdapat kedai gunting rambut, kedai mengurut dan pejabat koperasi masjid yang aktif dengan pelbagai aktiviti perniagaan. 

“Contohnya, pihak koperasi akan menjalankan aktiviti menjual kurma semasa bulan Ramadan. Di musim Raya Haji pula, koperasi akan menjual binatang ternakan kepada pihak masjid untuk aktiviti korban,” katanya. 

Ahli koperasi yang terdiri daripada jemaah masjid, turut menerima dividen hasil keuntungan yang dijana oleh koperasi. 

Ujarnya, masjid turut mempunyai tanah hasil wakaf orang ramai seluas 32 ekar, yang diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).

Koperasi masjid turut memiliki kebun nanas seluas 1.2 ekar di Sungai Merab, Kajang. Tanah itu disewa dengan PWS. Masjid berkenaan ditunjangi oleh empat imam dan tiga bilal.   


KAFA MENENGAH 

Aspek pendidikan turut dititikberatkan oleh pengurusan masjid dengan menyediakan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) Menengah dari tingkatan satu hingga lima. 

Kongsinya, kelas itu hanya satu-satunya yang masih beroperasi di daerah ini dan mendapat sumbangan dana korporat dari pihak bank. 

“Ada dua sesi iaitu pagi dan petang. Kelas KAFA Menengah ini mempunyai tiga kelas yang dapat menampung 91 pelajar pada satu-satu masa.      

“Tenaga pengajar pula adalah seramai lima orang yang merupakan lantikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuk yang dilantik oleh pihak masjid sendiri bagi menampung kekurangan guru,” katanya. 

BENGKEL KATERING 

Buat julung-julung kali, katanya, biro kebajikan masjid dengan kerjasama Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin menganjurkan bengkel katering yang bertujuan membantu golongan suri rumah menjana pendapatan dari rumah.

  Jelasnya, bengkel yang dihadiri seramai 30 peserta itu memberi peluang untuk mereka mempelajari menu terpilih termasuk cara masakan Nasi Beriani Johor.  

“Selain mengeratkan silaturrahim, kita juga mahu peserta menimba ilmu memasak dari pakar masakan yang disediakan. 

“Usaha ini juga bagi memupuk minat memasak serta mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan dalam masakan,” katanya.    

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×