GAZA: Sekumpulan pakar Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan segera dijalankan terhadap laporan wanita dan kanak-kanak perempuan Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang berdepan layanan tidak berperikemanusiaan termasuk pelbagai bentuk serangan seksual dan rogol.
Dalam satu kenyataan Isnin lalu, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) berkata, pihaknya menerima maklumat tentang pencabulan hak asasi manusia terhadap wanita dan gadis Palestin yang dihukum sewenang-wenangnya di hadapan ahli keluarga, termasuk anak-anak mereka.
“Kami terkejut dengan laporan mengenai sasaran yang disengajakan dan pembunuhan di luar undang-undang terhadap wanita dan kanak-kanak Palestin di tempat di mana mereka mencari perlindungan atau ketika melarikan diri.
“Sesetengah daripada mereka dilaporkan memegang kepingan kain putih apabila mereka dibunuh oleh tentera Israel atau pasukan gabungan.
“Antara ratusan wanita dan gadis Palestin yang ditahan ialah pembela hak asasi manusia, wartawan serta pekerja kemanusiaan di Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober lalu,” kata kenyataan itu.
Ramai golongan hawa dilaporkan tidak diberi makanan, ubat-ubatan, penggunaan tuala wanita ketika haid dan dipukul teruk ketika dalam tahanan Israel.
Gambar tahanan wanita dalam keadaan yang memalukan juga dilaporkan diambil oleh tentera Israel dan dimuat naik dalam talian.
“Sekurang-kurangnya seorang wanita Palestin yang ditahan di Gaza didakwa di kurung dalam sangkar ketika hujan dan dibiar kesejukan tanpa makanan.
“Wanita dan gadis Palestin dalam tahanan juga mengalami pelbagai bentuk serangan seksual seperti dibogelkan dan diraba oleh pegawai tentera lelaki Israel ketika membuat pemeriksaan tubuh.
“Sekurang-kurangnya setiap dua tahanan wanita Palestin didakwa dirogol manakala yang lain dilaporkan diancam dengan rogol dan keganasan seksual,” kata kumpulan pakar itu.
Kebimbangan juga dibangkitkan mengenai bilangan wanita termasuk kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang selepas berhubung dengan tentera Israel di Gaza.
“Terdapat laporan yang membimbangkan mengenai bayi perempuan dipindahkan secara paksa oleh tentera rejim Zionis ke Israel serta kanak-kanak yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka dan tidak diketahui keberadaannya,” tambah kumpulan itu.
Kumpulan pakar tersebut turut menggesa siasatan bebas, tidak berat sebelah, segera, teliti dan berkesan terhadap dakwaan itu selain mengingatkan kerajaan Israel agar bekerjasama dengan telus terhadap penyiasatan sedemikian.-AGENSI











