Abdul Taib tinggalkan legasi yang tidak dilupakan

Abdul Taib tinggalkan legasi yang tidak dilupakan

TUN ABDUL TAIB MAHMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMERGIAN bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Abdul Taib Mahmud merupakan satu kehilangan besar buat rakyat Sarawak dan juga negara, apatah lagi negeri itu mencapai pelbagai kemajuan di bawah pimpinan beliau yang berwibawa.

Abdul Taib menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun, tepat pukul 4.28 pagi semalam ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sarawak mengisytiharkan perkabungan selama dua hari sehingga 22 Februari (hari ini) selain mengarahkan semua majlis rasmi yang melibatkan acara hiburan ditangguhkan sementara bendera Sarawak dikibarkan separuh tiang.
Jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada pukul 1 petang semalam dan akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hari ini bagi memberi peluang kepada rakyat jelata untuk memberi penghormatan terakhir mulai pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Demak pada pukul 12 tengah hari untuk disembahyangkan.

Majlis pengebumian akan disempurnakan selepas solat Zohor (antara pukul 1.30 tengah hari hingga 2 petang) di Tanah Perkuburan Demak, Petra Jaya.

Abdul Taib berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun dan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selama tiga penggal (12 tahun).

Sepanjang 50 tahun Abdul Taib mendedikasi dan menumpukan hidupnya untuk pembangunan dan kesejahteraan negara dan negeri Sarawak.

Dikenali sebagai ‘Bapa Sarawak Moden’, Abdul Taib meninggalkan legasi yang tidak mungkin boleh dilupakan dalam sejarah dan pembangunan Sarawak.

Kebijaksanaan beliau dalam memimpin Sarawak tidak boleh dinafikan, sehingga mampu menjadikan Sarawak daripada kawasan terpencil yang sederhana pada 1960-an menjadi bahagian Malaysia yang cergas dan progresif sehingga hari ini.

Slogan ‘Politik Pembangunan’, bukan sahaja memacu pembangunan tetapi turut berjaya menyatukan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai etnik, latar belakang kehidupan, budaya dan politik sehingga menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang aman damai dan bebas pergolakan politik serius.

Teras falsafah kepimpinan beliau itu berteraskan prinsip COME iaitu perubahan, peluang, mobiliti dan kesaksamaan untuk semua rakyat Sarawak.

Dilahirkan di Miri pada 21 Mei 1936, Abdul Taib mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Joseph di Miri dan di Sekolah Menengah St. Joseph di Kuching. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Adelaide, Australia, di bawah Biasiswa Rancangan Colombo yang berprestij.

Beliau kemudiannya mengambil pengajian pasca siswazah di Harvard dalam jurusan ekonomi pada 1964.

Abdul Taib berkahwin dengan Puan Sri Datuk Patinggi Laila Taib, seorang Muslim Poland berketurunan Lipka Tatar, pada 1959.

Perkahwinan itu dikurniakan empat orang anak, iaitu Jamilah Taib Murray, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Pada 2009, Laila meninggal dunia akibat kanser dan pada 2010 Abdul Taib berkahwin dengan Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Abdul Taib terlibat dalam dunia politik Sarawak sejak pembentukan Malaysia pada 1963.

Beliau adalah orang termuda yang pernah mengangkat sumpah sebagai Menteri Sarawak ketika berusia 27 tahun.

Abdul Taib dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak bermula 1981 hingga 2014, iaitu ketika berusia 45 tahun, sekali gus sebagai individu yang paling lama menjawat jawatan berkenaan di Sarawak, malah juga di Malaysia.

Beliau juga pernah menjadi ahli Parlimen selama 38 tahun- satu pengalaman yang mengukuhkan jejaknya dalam sejarah politik negara.

Sarawak di bawah kepimpinan beliau menyaksikan era kemajuan yang sangat progresif, yang membawa transformasi radikal.

Sekembalinya ke Sarawak pada 1960, Abdul Taib bekerja di Crown Council dari 1962 hingga 1963, kemudiannya dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya dalam Kabinet Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Menteri Persekutuan di pelbagai kementerian selama 13 tahun sejak 1969, termasuk Menteri Perusahaan Utama, Menteri Perancangan Am dan Penyelidikan Sosio Ekonomi, Menteri Pertahanan dan akhirnya, Menteri Wilayah Persekutuan.

Seterusnya, pada 26 Mac 1981, beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat dan berkhidmat selama 33 tahun, mengemudi Sarawak melalui era pembangunan yang tiada tolok bandingnya.

ERA BAHARU
Dasar inovatif ini menandakan era baharu dengan kemajuan ekonomi mengatasi perbalahan politik.

Tumpuan beliau terhadap pertumbuhan ekonomi, pembangunan luar bandar dan baik pulih infrastruktur membentuk naratif baharu untuk masa depan Sarawak.

Lonjakan yang luar biasa dalam pembangunan bukanlah kebetulan tetapi hasil daripada dasar yang bijak dan pelaksanaannya yang teliti.

Kejayaan evolusi Sarawak semasa berpunca daripada Politik Pembangunan, satu strategi yang dapat dilaksanakan disebabkan kestabilan politik Sarawak yang mampan, dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkhidmat sebagai tulang belakang Kerajaan Sarawak.

Di bawah PBB, sebuah kerajaan yang berdaya tahan dan berkekalan dibentuk, beroperasi secara kerjasama dan harmoni dengan parti komponen lain seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Atas jasa dan sumbangan beliau yang tidak ternilai, Abdul Taib menerima pelbagai penghargaan dan penghormatan dengan anugerah tertinggi Sarawak, Satria Bintang Sarawak (SBS) yang membawa gelaran Pehin Sri pada 13 September 2003.

Selain itu, beliau dikurniakan dengan penghormatan tertinggi negara, Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SSM), yang membawa gelaran Tun.

DAKWAH
Abdul Taib Mahmud juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menaiktaraf usaha dakwah Islam di Sarawak dengan mewujudkan madrasah, maahad tahfiz, pusat perubatan Islam dan juga rumah-rumah anak yatim.

Malah beliau merupakan pengasas dan pembina kepada beberapa pusat Islam di Korea Selatan.

Beliau juga berbesar hati menganugerahkan tanah seluas 30 ekar di Telaga Air untuk pembinaan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS).

Walau berdepan pelbagai cabaran dalam legasi pentadbirannya, beliau tidak pernah sesekali mengalah sebaliknya terus menabur bakti terhadap negeri kelahirannya itu sehingga akhir nyawa.-UTUSAN

Semoga rohnya tempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×