Anjing liar cemar kebersihan Bandar Sri Kesuma

Anjing liar cemar kebersihan Bandar Sri Kesuma

ANJING-ANJING liar ini berhak mendapatkan perlindungan sewajarnya supaya aspek kebersihan dijaga rapi oleh mana-mana rumah perlindungan haiwan. – GAMBAR KIRIMAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA amat berharap pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dapat mengambil tindakan segera dengan menangkap anjing-anjing liar yang berkeliaran di persekitaran lot kedai di Bandar Sri Kesuma, Semenyih.

Seawal pukul 7.30 pagi, lebih 10 anjing liar dilihat merayau-rayau dan memancut kencing di tayar kereta pengguna yang singgah ke kedai makan dan klinik.

Lebih menjijikkan, anjing-anjing tanpa pengawasan ini dilihat membuang air besar merata-rata di tepi jalan, sekali gus menimbulkan suasana tidak senang kepada orang ramai.

Lebih tepat, lokasi ini betul-betul berada di depan Poliklinik Damai dan bertentangan MARA-Japan Industrial Institute (MJII), Beranang.

Anjing-anjing liar ini berhak mendapatkan perlindungan sewajarnya supaya aspek kebersihan dijaga rapi oleh mana-mana rumah perlindungan haiwan.

Langkah ini juga penting bagi melindungi persekitaran dan komuniti setempat.

Walaupun anjing-anjing liar ini belum mengancam nyawa manusia, namun langkah berhati-hati harus diambil sewajarnya. Kita tidak mahu sekiranya ada dalam kalangan penduduk atau pekerja di sini dikejar atau digigit anjing berkenaan.

Umum ketahui, anjing liar boleh membawa penyakit anjing gila atau rabies yang boleh membahayakan nyawa kerana boleh menjakiti manusia melalui air liur haiwan secara gigitan. Jika berlaku hal ini, ia lebih merungsingkan warga Bandar Sri Kesuma.

Jadi. tindakan oleh MPKJ dapat membantu mengatasi masalah ini sekali gus ia sejajar dengan misi pembangunan seimbang yang menekankan konsep daya huni serta kehidupan lestari penjanaan ekonomi setempat ke arah bandar raya sejahtera.-UTUSAN

MAIMON MUTALIB
Penduduk

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×